Accounting Research Institute (ARI), UiTM Memperkasa Agenda Pendidikan Negara

SHAH ALAM, 25 JULAI 2022 – Majlis Perasmian Makmal Poligraf Universiti Teknologi MARA telah disempurnakan dengan jayanya oleh Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR), bertempat di Accounting Research Institute (ARI), Menara Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), UiTM pada 20 Julai 2022. Merupakan institusi penyelidikan pertama di Malaysia yang mempunyai makmal poligraf sendiri .

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata peranan UiTM sebagai institusi pendidikan amat signifikan dalam membangunkan intelektual dan tenaga kerja di negara ini kerana masa depan kepimpinan negara boleh dipengaruhi oleh 180,000 orang pelajar yang akan menentukan masa depan negara.

“Membentuk pelajar berintegriti sudah tentu bermula daripada ekosistem warga universiti itu sendiri. Oleh itu, adalah amat kritikal agar semua tenaga kerja UiTM termasuk pihak Pengurusan  Eksekutif dan Pengurusan Kanan UiTM mempunyai tahap integriti yang tinggi. Demi memastikan tenaga kerja yang bakal dilahirkan bukan hanya profesional, tetapi berintegriti kita mesti biasa menjalani cara hidup yang menolak segala bentuk penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa,” ujar beliau.

Pengiktirafan ARI sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada tahun 2010 menjadi pemangkin kepada penubuhan makmal ini.  Selaras dengan bidang tujahan ARI dalam Kriminologi Kewangan Islam dan matlamat ARI untuk menjadi sebuah pusat rujukan global tersohor, penubuhan makmal ini bertujuan untuk memudahkan dan memajukan penyelidikan dalam perakaunan forensik dan kriminologi kewangan. Makmal ini dapat menampung seramai 15 orang dalam satu masa dan mempunyai empat (4) set peralatan serta dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau dari bilik kawalan untuk pengawasan semasa ujian poligraf berlangsung selain untuk meningkatkan keselamatan.

Menjadi institusi penyelidikan pertama di Malaysia yang mempunyai makmal poligraf sendiri, ARI menawarkan perkhidmatan ujian poligraf kepada organisasi kerajaan, agensi penguatkuasaan undang-undang, sektor korporat dan organisasi swasta. ARI juga menawarkan kursus, perkhidmatan dan kerjasama yang menggunakan teknologi sebagai alat untuk meningkatkan kualiti penyelidikan dan menambah baik prosedur penyiasatan.

Kini, UiTM mempunyai empat (4) orang Pemeriksa Poligraf yang berkelayakan dan telah dilantik sebagai ‘Pegawai Poligraf UiTM’.

UiTM turut menyambut baik cadangan SPRM berhubung penubuhan Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Kor SUAR) di universiti bagi mengukuhkan gerakan anti rasuah di kalangan Mahasiswa.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Pengarah SPRM Negeri Selangor, Dato’ Haji Alias Salim.