Jengka, 20 Julai 2022 – Perbincangan awal pihak UiTM Cawangan Pahang dan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) diadakan bagi mementerai Memorandum Persefahaman/Perjanjian (MOU/MOA) dalam aktiviti yang boleh dimanfaatkan bersama. Perbincangan ini diwakili oleh pihak MUIP iaitu Encik Khairuddin Ismail selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Pengurusan & Dasar dan Encik Rozaini Jumali, Pengarah Bahagian Strategi, Teknologi Maklumat & Komunikasi Korporat. Pihak UiTM juga dengan rendah hati menjemput pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang serta Adiguru Ukiran Kayu Pahang.
Tujuan perbincangan awal ini dibuat adalah untuk membuat pencerahan hasrat pihak MUIP dalam memperkasa dan memartabatkan adat resam Negeri Pahang yang semakin dilupakan. Sehubungan dengan itu, MUIP berhasrat melantik UiTM Pahang untuk menggerakkan pelbagai aktiviti dalam usaha mengumpul informasi dan menerbitkan bahan ilmiah berasaskan adat resam Pahang untuk tujuan dokumentasi MUIP agar informasi ini tidak hilang serta kekal sebagai rujukan generasi akan datang.
Hasil perbincangan tersebut, pihak UiTM bersetuju untuk merangka dan membuat kertas kerja dan akan dibentangkan kepada MUIP tidak lama lagi. Kedua-dua pihak berpuashati dengan hasil perbincangan di mana ianya akan melibatkan penyelidikan yang akan dikelolakan oleh Pasukan Penyelidikan dan Perhubungan Industri (PJI) manakala projek perundingan akan dikendalikan oleh Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP).
Wakil Bahagian PJI UiTM Cawangan Pahang terdiri daripada Prof. Dr Wan Nazri Wan Abd Rahman selaku Timbalan Rektor PJI, ChM. Dr Shahidatul Akmar Mohd Shohaimi- Koordinator RMU dan En Faizat Hassan-Pegawai Eksekutif PJI. Turut bersama adalah pensyarah kanan FPP yang merintis kerjasama ini iaitu Puan Faizan Abd Jabar; bidang keusahawanan , Puan Siti Aishah Mohamad; bidang kewangan, Puan Suhanom Mohd Zaki; bidang pengurusan sumber manusia dan Dr Nor Hidayatun Abdul Razak; bidang pemasaran digital.
Turut dijemput di dalam perbincangan tersebut adalah Timbalan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang; En NorHairul Nizam Awang Malek dan Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi; CIk Nurul Syohiebbah Abdul Gani. Kehadiran mereka adalah sebagai sokongan untuk projek bersama memandangkan pihak mereka juga banyak menyimpan informasi adat resam dan nilai-nilai tradisional Pahang. Oleh kerana masih banyak nilai-nilai ini tidak dicungkil dan dikongsi, hasil kerjasama ini juga terutamanya dalam penyelidikan akan membantu pihak Kraftangan mendapatkan informasi baharu untuk dikemaskini dan tujuan pengrekodan. Manakala jemputan khas iaitu Encik Muhaimin Hasbollah selaku adiguru ukiran kayu Pahang sebagai menyampaikan hasrat penyelidikan ini selari dengan titah Tengku Mahkota Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang inginkan nilai-nilai ukiran kayu Pahang dibukukan untuk rujukan baginda.
Manakala projek perundingan yang diketuai oleh Puan Siti Aishah Mohamad akan mengelolakan beberapa aktiviti yang menggalakan penglibatan komuniti Pahang dalam menyumbangkan informasi serta idea berkaitan adat resam Pahang. Aktiviti bersama komuniti akan memberi ruang informasi berharga ini dikongsi dengan pihak UiTM dan MUIP untuk tujuan pengrekodan.
Pihak UiTM ingin merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MUIP kerana sudi membuka ruang serta meletakkan kepercayaan kepada UiTM Cawangan Pahang untuk mengelolakan program penyelidikan dan perundingan bersama pihak mereka. Diharap kedua-dua projek ini akan memberi impak yang positif dan dapat dimanfaatkan oleh ramai pihak di atas jalinan kerjasama strategik ini.