Kelab Memanah UiTM Pahang Terus Memasyarakatkan Sukan Memanah

Kelab Memanah UiTM Cawangan Pahang dan Unit Sukan UiTM Cawangan Pahang bekerjasama dengan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) negeri Pahang untuk mengadakan Kejohanan Sukan, Olahraga dan Memanah kali ke-4 SRITI Negeri Pahang bertempat di Lapang Sasar Memanah UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Sebanyak 10 buah sekolah SRITI dari seluruh Negeri Pahang telah menyertai kejohanan ini dengan seramai 77 orang pemanah menyertai 8 kategori yang dipertandingan iaitu Recurve Boy Individu, Recurve Girl Individu, Recurve Boy Berpasukan, Recurve Girl Berpasukan, Recurve Guru Lelaki Individu, Recurve Guru Wanita Individu, Recurve Guru Lelaki Berpasukan dan Recurve Guru Wanita Berpasukan. Objektif kejohanan ini adalah untuk mencari pemanah yang akan mewakili Pahang untuk kejohanan SRITI peringkat kebangsaan yang akan diadakan di negeri Johor.

Menurut Pengarah SRITI Pahang, Ustaz Muhammad Shukri Shuib, “fasiliti lengkap, keadaan lapang sasar dan kerjasama pihak UiTM yang baik telah menjayakan kejohanan ini mengikut jadual yang ditetapkan dan InshaAllah ianya boleh diteruskan dalam masa yang akan datang”.

Penganjuran kejohanan memanah seumpama ini, adalah sebahagian daripada program pembangunan sukan memanah yang sekali gus telah mencapai sasaran dalam memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur dan menyediakan pendidikan berkualiti kepada komuniti. Ianya selaras dengan SDG3 dan SDG4 di mana sekolah-sekolah di SRITI negeri Pahang dan UiTM dapat mengukuhkan misi jangka panjang dan sederhana, agar dapat berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai pusat penyebaran ilmu.