Mentor-Mentee: M2M FA Readiness

Program “MENTOR-MENTEE: M2M FA READINESS” ini telah dianjurkan oleh Jabatan Sains Komputer, FSKM UiTM Cawangan Pahang untuk semua pelajar Diploma Sains Komputer (CS110) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Program ini adalah sebuah program yang berbentuk perjumpaan antara Penasihat Akademik (mentor) dan pelajar CS110 (mentee) yang telah berlangsung pada minggu ke 14 kuliah iaitu bermula daripada hari Selasa, 12 Julai 2022 hingga Jumaat 15 Julai 2022.

Program ini telah dijalankan sekurang-kurangnya 1 jam dan ianya mengikut temujanji yang telah dipersetujui antara Penasihat Akademik dan mentee masing-masing iaitu antara jam 9 pagi hingga jam 6 petang. Penasihat Akademik telah membuat temujanji terlebih dahulu dengan mentee masing-masing bagi menentukan tarikh, masa dan tempat untuk sesi perjumpaan ini dijalankan. Terdapat juga perjumpaan yang terpaksa dilakukan secara maya (online) kerana pelajar tidak berada di kolej, sebaliknya berada di rumah masing-masing.

Tujuan program ini dijalankan ialah membolehkan Penasihat Akademik yang merupakan pensyarah Jabatan Sains Komputer, mendapatkan maklumat terkini kesediaan mentee menghadapi peperiksaan akhir. Sesi ini juga memberi peluang kepada pihak mentee untuk mendapatkan bantuan daripada Penasihat Akademik berkaitan sebarang persoalan mengenai pembelajaran dan kelancaran dalam menghadapi peperiksaan akhir. Antara agenda yang telah dilakukan sepanjang sesi perjumpaan mentor-mentee ini ialah Penasihat Akademik telah menyampaikan maklumat penting berkaitan dengan Final Assessment seperti Jadual Peperiksaan Akhir dan Status Penilaian Akhir, perkongsian oleh mentee mengenai status kursus yang diambil (berkongsi masalah dan sebagainya) dan perkongsian tips dan nasihat untuk menghadapi peperiksaan akhir.

Program ini adalah penting bagi memastikan mentee mendapat persediaan mental dan fizikal yang baik serta bermotivasi sebelum menghadapi peperiksaan. Program ini sangat bagus untuk diteruskan kerana memberi ruang dan peluang buat mereka untuk berjumpa penasihat akademik secara bersemuka bagi berkongsi masalah dan lain-lain perkara. Diharapkan juga dengan sesi perjumpaan mentor-mentee ini dapat meringankan beban dan masalah yang dihadapi pelajar justeru dapat membantu ke arah pembangunan nilai-nilai dalam diri dan juga pembangunan ilmiah di kalangan pelajar dalam usaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan seterusnya dapat membantu pelajar dalam pembelajaran mereka.