Undi 18 Wadah Baharu Golongan Anak Muda

11 November 2022- Shah Alam; Sudah tiba masanya anak muda Malaysia melangkah ke hadapan dengan cara diberi peluang dan ruang dalam sama-sama merancakkan lagi sistem demokrasi yang menjadi amalan pada negara tercinta ini. Dengan kesepakatan kepemimpinan negara, pindaan Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 119(1)(a) telah menurunkan had umur kelayakan pemilih dari umur 21 tahun kepada umur 18 tahun.

Oleh itu, Perpustakaan Tun Abdul Razak dengan kerjasama strategik Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu telah menganjurkan satu webinar yang bertajuk Undi 18 Wadah Baharu Golongan Anak Muda. Panel bagi webinar ini adalah Encik Mujibu Abd Muis yang merupakan Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dan dikendalikan oleh Encik Mohd Khairul Idzwan Mohd Saad, Pembantu Pustakawan Tertinggi PTAR UiTM. Webinar ini telah berlangsung secara atas talian Youtube Perpustakaan UiTM dan Facebook Kursi Institusi Raja-Raja Melayu-Media Rasmi pada 11 November 2022 (Jumaat), jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Menurut Encik Mujibu, hasil dapatan kajian telah menunjukkan hampir 82% anak muda telah menjawab soalan tinjauan dan didapati mereka akan turun mengundi. Di sini kita dapat lihat anak muda sudah bersedia kerana keterujaan mereka untuk memilih wakil rakyat. Akan tetapi, keterujaan itu boleh menjadi kekecewaan yang berpanjangan sekiranya pendedahan dan penghayatan tentang pilihan raya ini tidak dilaksanakan. Apabila timbul kekecewaan, maka akan timbulnya hilang kepercayaan kepada sistem demokrasi ini.

Anak muda perlu faham dalam memilih calon Parlimen, apabila mereka menang mereka adalah pembuat dasar negara. Kalau tidak mahu ada dasar-dasar yang merepek atau menyusahkan rakyat maka pilihlah calon yang baik. Tidak salah jika rakyat berpendapat bahawa wakil rakyat itu membuat kerja-kerja berkaitan dengan rakyat walaupun sebenarnya dari sudut perundangan perkara itu bukan tugasan ahli Parlimen. Ada angkubah dalam menilai pemimpin, tapi selalunya mengikut kata pujangga Melayu “Kalau mencari tempat mandi, pertama teluk kedua pantai, Kalau mencari pemimpin, pertama elok kedua pandai”. Salah satu faktor anak muda untuk memilih calon itu adalah kriteria calon tersebut. Kehendak dan citarasa anak muda berbeza-beza. Ada yang memilih parti dan ada yang memilih calon.

Segelintir anak muda berpendapat bahawa tidak turun mengundi adalah boikot, akan tetapi itu sudah menjadi kesalahan sebagai warganegara tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab. Sebetulnya dengan pergi mengundi, disitulah kita boleh menunjukkan boikot kerana pada kali ini anak muda mempunyai pilihan yang pelbagai. Kalau dulu ada dua atau tiga penjuru, sekarang ada yang sampai sepuluh penjuru. Penjuru-penjuru ini sebagai alternatif kepada mereka untuk memilih sesiapa sahaja termasuk calon dari bebas.

Tuntasnya, anak muda harus menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara. Gagalnya demokrasi kerana gagalnya warganegara dalam menunaikan tanggungjawab. Jadi pada 19 November 2022 ini jangan lupa untuk terus pergi ke pusat mengundi. Buatlah pilihan yang bijak. Buat semakan daftar pemilih terlebih dahulu di MySPR Semak sehari sebelum hari mengundi.