UiTM Ungguli Malaysia Book Of Records

SHAH ALAM , 10 DISEMBER 2022  – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan dua pengiktirafan iaitu jumlah skrol terbanyak dalam istiadat konvokesyen dan bilangan skrol tertinggi yang disampaikan oleh Naib Canselor.

Kedua-dua pengiktirafan ini diperakui oleh Malaysia Book of Records apabila, 31,220 graduan menerima skrol mereka dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 yang berlangsung dari 26 November 2022 hingga 21 Disember 2022.

Daripada jumlah tersebut, seramai lebih 16,000 graduan menerima skrol ijazah dan diploma mereka daripada Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.

Selepas tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 dan mengharungi pelbagai cabaran menyesuaikan diri dengan aktiviti kampus secara maya dan hibrid, istiadat konvokesyen UiTM kembali dianjurkan secara fizikal bagi meraikan pencapaian para graduan. Sambutan secara fizikal ini telah bermula dengan konvokesyen ke-93 yang diadakan pada 15 Jun 2022 hingga 6 Julai 2022 dan konvokesyen ke-94 yang diadakan pada 10 hingga 21 September 2022.

UiTM berbangga dengan pencapaian kesemua graduannya dan turut gembira meraikan kejayaan keluarga besar UiTM yang sehingga kini berjumlah seramai 968, 161 orang.