UiTM Umum Cuti Bencana 6 Hari Mulai Esok

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengumumkan cuti bencana mulai esok sehingga 25 Disember ini. Naib Canselor UiTM, Prof Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Majlis Eksekutif Universiti susulan banjir luar biasa yang melanda negara ketika ini.

“UiTM amat mengambil berat dan prihatin terhadap situasi yang dihadapi oleh pelajar dan staf (sokongan dan akademik), justeru melalui perbincangan bersama Majlis Eksekutif Universiti, UiTM mengumumkan cuti bencana mulai esok.

“Semua kuliah dibatalkan mulai esok 20 Disember hingga Sabtu sebagai salah satu inisiatif bagi meringankan dan membantu mereka yang terkesan. Sepanjang tempoh ini, tiada sebarang aktiviti kuliah, pentaksiran dan penghantaran tugasan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cuti bencana ini akan dilanjutkan dengan cuti khas perayaan pada 25 Disember hingga 2 Januari 2022 sepertimana yang ditetapkan dalam kalendar akademik sesi I 2021/2022. Katanya, pensyarah boleh menggunakan minggu ulang kaji (31 Januari 2022 – 5 Februari 2022) bagi tujuan penggantian kuliah.

“Manakala, bagi Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang akan dilaksanakan pada 21 dan 22 Disember ini diteruskan secara dalam talian. Seluruh warga UiTM mendoakan agar semua pensyarah, pelajar dan warga universiti seluruhnya yang terlibat dengan bencana banjir ini dipermudahkan segala urusan, diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian serta dilindungi daripada sebarang musibah,” katanya.

Sumber berita: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/901238/uitm-umum-cuti-bencana-6-hari-mulai-esok