UiTM Teroka Peluang Kolaborasi Bersama Industri Melalui BIZ.SPOTLIGHT 2023

Sumber Gambar: Harian Metro

 

SHAH ALAM, 6 SEPTEMBER – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengambil inisiatif kolaborasi dengan menjemput pihak industri untuk menerokai potensi inovasi dan produk hasil penyelidikan UiTM yang berpotensi untuk dikomersialkan. Melalui program biz.sportlight 2023 yang berlangsung di Dewan Anjung Seri Budiman pada 6 dan 7 September 2023, sebanyak 10 produk hasil inovasi terpilih telah dipamerkan dan dinilai potensi pengkomersialan oleh panel industri yang dilantik dari Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Cradle Fund Sdn. Bhd.

Produk hasil penyelidikan dan inovasi daripada pelbagai bidang ini mampu memberikan manfaat positif dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan memenuhi keperluan negara. Program yang berprestij ini merupakan acara yang julung kali diadakan di bawah pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi (TNCPI) dalam usaha untuk memartabatkan hasil penyelidikan dan inovasi UiTM ke arah menjadi universiti yang dikenali dunia (GRU2025).

Menurut Pengarah Business Innovation & Commercialization Centre (BITCOM), Prof. Madya Ir. Dr. Sabirin Zoolfakar, “BITCOM bergerak aktif dalam memaksimakan impak pengkomersialan di UiTM sejajar dengan inspirasi universiti dan kementerian dalam membudayakan dan memperkasakan hasil penyelidikan universiti kepada satu aras yang lebih tinggi. Melalui program yang dirangka oleh BITCOM, 5 tunjang utama dalam ekosistem pengkomersialan iaitu pendanaan, bakat, inovasi, dasar dan ekosistem pasaran digerakkan seiring bagi memenuhi matlamat utama UiTM dalam pengkomersialan iaitu meningkatkan bilangan produk yang berjaya dikomersialkan sama ada melalui penubuhan Syarikat Pemula atau Terbitan Universiti atau melalui perlesenan dengan pihak industri. Program biz.sportlight 2023 ini juga adalah inisiatif universiti dalam meningkatkan kerjasama antara UiTM dengan industri terutamanya agensi yang terlibat dalam pengkomersialan di Malaysia antaranya MTDC, Cradle Fund, MRANTI, Leave a Nest, YIM dan lain-lain agensi”.

Selain pameran produk-produk inovatif, acara ini turut menyaksikan pelbagai demonstrasi hasil penyelidikan dari seluruh cawangan UiTM. Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih memahami kepakaran dan inovasi yang dihasilkan oleh pakar akademik UiTM dalam program biz.spotlight 2023.

BITCOM sebuah jabatan yang bergerak aktif dalam memaksimakan impak inovasi UiTM melalui proses penilaian, perlindungan, pemasaran dan pelesenan inovasi, ciptaan dan penemuan penyelidikan universiti. BITCOM menjadi tunggak dan pendokong serta penggerak utama dalam pembentukan Syarikat Permula dan Spin-Off yang berpangkalan di UiTM.

Turut berlangsung, majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara syarikat-syarikat Pemula dan Terbitan UiTM dengan Tuah Space Sdn. Bhd.