UiTM Meterai Kerjasama Dengan University Of Glasgow Untuk Meningkatkan Kompetensi Global

GLASGOW, 11 APRIL – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama University of Glasgow (UofG) yang telah berlangsung di Glasgow, Scotland, UK hari ini. Pertukaran dokumen persefahaman telah diserahkan oleh Prof. Dr. Shahriman Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan yang mewakili YBhg. Prof. Datuk Dr. Ts. Hjh. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM kepada Prof. William Cushley, Assistant Vice-Principal of International UoFG dengan disaksikan oleh Profesor Dr. Mohad Anizu Mohd Nor, Dekan FSR dan Prof. Jason Gill.

Kerjasama yang dijalin antara UiTM dan UofG menitikberatkan aspek akademik dan ilmiah. Antaranya termasuk menghantar pelajar-pelajar UiTM yang berkelayakan untuk menyambung pelajaran dalam pengajian pascasiswazah, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, juga cadangan pelantikan profesor pelawat, pemeriksa luar dan penceramah. Kerjasama ini antara lainnya akan meningkatkan kompetensi global UiTM di peringkat antarabangsa yang mengarah kepada matlamat untuk mencapai agenda dalam pelan strategik UiTM2025.

FSR yang pernah menerima anugerah Gold Campus Award dari American College of Sport terus mengorak langkah dengan jalinan kerjasama MoU yang akan dilaksanakan selama tiga tahun ini dari tahun 2022 sehingga 2025. UofG merupakan sebuah universiti di Scotland, UK yang telah bertapak sejak tahun 1451 dengan pencapaian-pencapaian hebat seperti berada di tempat ke-73 dunia dalam penarafan QS World University Rankings 2022. UiTM komited menerokai pelbagai ruang dan peluang kerjasama untuk kekal berdaya saing agar lebih cemerlang di peringkat antarabangsa.