Pameran Project Komik UiTM – Toshiba Tajaan TIFO sehingga 30 April 2022

Sungai Petani – Toshiba International Foundation (TIFO) merupakan sebuah tajaan geran di mana penyertaan terbuka kepada umum pada setiap tahun untuk mana-mana organisasi atau individu yang berminat dengan pelbagai tema mengikut kepakaran bidang masing-masing. Pemohon hendaklah mengisi borang pada website TIFO dengan menerangkan objektif, bajet, metod dan bagaimana projek tersebut akan dilaksanakan. Tiada minimum atau maksimum jumlah bajet yang boleh dipohon cuma ia perlulah relevan dan bersesuaian dengan projek yang hendak dilaksanakan. Keputusan akan dimaklumkan selepas beberapa bulan pemohonan dilakukan melalui email sama ada pemohon berjaya atau tidak. Peserta yang telah berjaya perlulah menghabiskan projek mereka dalam masa setahun menggunakan bajet yang telah diluluskan.

Antara peserta yang berjaya memenangi geran antarabangsa ini adalah pensyarah kanan daripada UiTM Kedah yang diketuai Dr. Faryna Mohd Khalis telah mendapat RM46,153 dengan kajian bertajuk ‘A Meeting of Two Worlds: Japanese Anime Influence in Malaysian Character Design’. Pencapaian ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana UiTM Kedah adalah satu-satunya universiti di Malaysia juga di peringkat Asia yang memenangi geran bagi kategori kesenian dan kebudayaan semenjak tahun 2014 yang lalu.

Pada 28hb Februari 2022 telah berlangsung Pameran Projeck Komik UiTM tajaan Toshiba International Foundation diketuai oleh Dr. Faryna Mohd Khalis dari Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi MARA UiTM Kedah. Pameran ini menampilkan sembilan komik yang dihasilkan oleh sembilan pelajar UiTM dari kampus Kedah, Perak, Serawak, Melaka dan Kelantan. Pameran ini telah dirasmikan oleh Encik Orikasa Hiroyuki, General Consulate of Japan bersama rektor kampus UiTM Kedah iaitu Prof. Dr. Abdullah Hemdi. Projek ini turut dibantu oleh lima ahli kumpulan utama iaitu Dr. Shafilla Subri, Encik Abdullah Kula, Puan Nurul Atikah Adnan, Puan Syazliyati Ibrahim dan Prof Madya Dr. Mohamad Rizaimy. Pameran ini dijangka berterusan sehingga akhir bulan April selari dengan tamatnya tempoh masa geran iaitu pada 30 April 2022.

Turut berkolaborasi pada hari pameran tersebut adalah Mindareka Hybrid iaitu pameran hasil karya pelajar tahun akhir daripada Kolej Pengajian Seni Kreatif oleh 22 orang pelajar terbaik daripada Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital bersama Jabatan Seni Reka Perindustrian. Program yang dijalankan ini mengikut SOP yang ketat bagi memastikan keselamatan peserta dan hanya dihadiri oleh pensyarah dan pelajar yang terpilih bersama lebih kurang 10 orang VVIP yang terdiri daripada pihak Consulate Japan, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kedah dan Jawatan Kuasa Eksekutif UiTM Kedah. Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang dan melihat pameran ini juga boleh diakses secara atas talian pada website rasmi projek ini melalui link yang diberikan :- https://comictoshiba226.wixsite.com/comictoshiba