UiTM Memperoleh Kedudukan #2 Teratas di Malaysia dalam THE Impact Rankings

SHAH ALAM, 28 APRIL 2022– Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh peranan proaktifnya dalam memartabatkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila menjadi universiti ke-2 teratas di Malaysia dalam penarafan Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2022 dengan skor keseluruhan 82.8 berbanding 79.4 pada tahun lepas. UiTM turut melonjak enam anak tangga yang berfokus kepada matlamat wajib SDG17 (Perkongsian untuk Matlamat) apabila berada pada kedudukan ke-42 daripada 1,524 institusi berbanding tempat ke-48 tahun sebelumnya dengan skor 94.8 berbanding 89.6.

THE Impact Rankings mengukur kejayaan institusi dalam memfokuskan 17 SDG yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberi impak kepada masyarakat. Setiap institusi yang tersenarai adalah berdasarkan tiga pencapaian terbaik yang diperoleh dalam matlamat SDG.  Pencapaian hebat UiTM bagi sasaran SDG17 tahun ini telah membuktikan komitmen UiTM dalam menjalinkan hubungan dengan negara, NGO serantau dan kerajaan bagi pembangunan dasar SDG, selain menjalankan penyelidikan untuk memperkasa kerjasama dalam menyokong matlamat SDG, serta mereka bentuk kursus pembelajaran yang selari dengan SDG untuk pelajar dan orang ramai.

Daripada 17 SDG, UiTM tahun ini menghantar data untuk sepuluh (10) matlamat SDG, iaitu SDG1 (Tiada Kemiskinan), SDG3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG4 (Pendidikan Berkualiti), SDG5 (Kesaksamaan Gender), SDG6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG7 (Tenaga Bersih dan Berpatutan), SDG8 (Kerja yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi), SDG9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG10 (Mengurangkan Ketaksamaan) dan SDG17 (Perkongsian untuk Matlamat).

Peningkatan ketara dicatatkan bagi SDG7 dan SDG9 pada kali ini menunjukkan hasil usaha dan komitmen UiTM dalam memperkasa kecekapan tenaga dengan pengurangan penggunaan tenaga serta keupayaannya untuk menghasilkan syarikat spin-off di samping menjana pendapatan berdasarkan aktiviti penyelidikan dan inovasi universiti. Manakala bagi SDG6 dan SDG10, UiTM berjaya mengekalkan kedudukan seperti tahun sebelumnya. Pencapaian tersebut telah menjadikan UiTM sangat strategik pada kedudukan 101-200 institusi teratas daripada 1,406 institusi yang tersenarai daripada 110 wilayah yang mengambil bahagian di seluruh dunia.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, antara individu penting yang telah lama menjadi penggerak dalam menggiat pelbagai inisiatif penarafan di peringkat UiTM, melahirkan penghargaan atas dedikasi dan komitmen keluarga UiTM demi kesejahteraan negara. “THE Impact Rankings mengukur kesan langsung yang dibuat oleh universiti. Sebagai sebuah universiti, kami amat berbangga dengan usaha yang telah dilakukan untuk mengetengahkan peranan UiTM di peringkat global dalam menyokong SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan reputasi kami telah diiktiraf untuk tahun ketiga bertutut-turut di peringkat antarabangsa yang  terkenal dengan universiti-universiti lain di seluruh.” katanya.