UiTM Melaka kumpul RM65000 untuk Misi Kemboja

Baru-baru ini, Persatuan International Business Unity Club (IBUC) dengan kerjasama dari Kelab Sukarelawan Zakat (SUZA), Finance Student Association (FINEST), Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Unit Waqaf, Zakat dan Infaq (EL-WAZIF), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Kelab Warisan Budaya (KWB), Kelab Pemimpin Muda (KPM), JawatanKuasa Perwakilan Pelajar Non-Residen (JPNR), Marketing Student Association (MASA), Hotel & Tourism Management (HOTOUR), Office System Society (BOSS) dan Human Resource Society (HURES) dari UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya telah menganjurkan sebuah program pengantarabangsaan khidmat masyarakat di Phnom Penh, Kemboja bersempena dengan sambutan Aidiladha.

Dengan tema “Prihatin Kepada Ummah”, dana dan pelbagai barangan telah berjaya dikumpul untuk disumbangkan kepada masyarakat Muslim di Phnom Penh. Program yang telah memasuki siri ke-3 ini telah berjaya mengumpul nilai sumbangan keseluruhan sebanyak RM65000. Ini termasuk 14 ekor lembu, 4 ekor kambing, pembinaan 20 buah telaga wakaf dan pembelian 4 set sistem solar. Selain itu, dana yang dikumpul juga telah digunakan untuk pembelian barang keperluan harian, telekung, Al-Quran, pakaian dan derma wang tunai. Sebanyak empat lokasi telah dipilih untuk melaksanakan aktiviti yang telah dirancang. Antaranya Pusat Tahfiz Quran Kampong Pare Biah, Kampung Osmaj, Madrasah Tahfiz Al-Iman Pre Pra, Madrasah Tahfiz Darul Quran Rohsah Themer, dan perkampungan atas air.

Seramai 13 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan penasihat persatuan pelajar UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka telah pergi ke Phnom Penh bagi menguruskan dana dan amanah penyumbang. Program selama empat hari bermula dari 30 Jun 2023 sehingga 3 Julai 2023 ini turut diselitkan dengan Program “Mimpi Si Kecil” yang dipimpin oleh Cik Amizatul Hawariah binti Awang dan Puan Wan Hasmat binti Wan Hasan. Program ini meliputi sukaneka dan aktiviti seperti pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan mereka pakaian yang disertai oleh ibu dan anak. Selain itu, kanak-kanak juga telah menerima sumbangan alat tulis, mainan, makanan serta duit raya.

Menurut Penasihat Program, Encik Mohd Isham Abidin, program ini sangat istimewa kerana bukan sahaja dapat melaksanakan amanah ibadah korban serta penyerahan sumbangan lain, tetapi juga dapat memberi peluang kepada sukarelawan UiTM Melaka menyaksikan sendiri cabaran hidup masyarakat Islam di Kemboja terutama penduduk yang masih lagi tinggal di atas sampan bagi meneruskan hidup. Beliau juga turut menyatakan penghargaan kepada para penyumbang di dalam program ini yang sudi bermuamalah dan memberi kepercayaan kepada penganjur untuk menjayakan misi amal kali ini.