UiTM Kurangkan Yuran Konvokesyen

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengurangkan yuran konvokesyen sesi ke-92 bagi semua peringkat pengajian diploma dan ijazah, termasuk ijazah doktor falsafah (PhD). Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata pengurusan tertinggi UiTM membuat keputusan itu dengan mengambil maklum suasana semasa penularan pandemik COVID-19.

“Yuran konvokesyen sesi ke-92 yang akan dikendalikan secara janji temu dikurangkan sebanyak RM40 bagi semua peringkat pengajian. Pengurangan yuran itu diberikan secara automatik kepada semua peringkat pengajian dari diploma dan ijazah, termasuk PhD bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan graduan. Sebelum ini, yuran konvokesyen pada setiap sesi yang dikenakan terhadap graduan pada kadar antara RM150 hingga RM230 mengikut peringkat pengajian. Kini, graduan hanya perlu membayar yuran pada kadar antara RM110 hingga RM190 sahaja, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azraai berkata, pengurusan tertinggi universiti amat peka dengan situasi semasa dan keputusan itu antara inisiatif UiTM untuk membantu graduan. “Ia juga bagi menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta supaya pihak universiti prihatin dengan situasi pelajar,” katanya.

Beliau berkata, baru-baru ini UiTM turut menangguhkan penganugerahan Diploma/Ijazah Secara Janji Temu dalam norma baharu yang dijadualkan bermula pada 7 November ke tarikh baharu, iaitu 1 Disember susulan COVID-19 yang membimbangkan. Sehubungan itu, graduan diminta mengisi dan mendaftar semula melalui Sistem Janji Temu baharu yang dibuka bermula 26 Oktober hingga 8 November,” katanya.

Graduan boleh melayari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/747561/uitm-kurangkan-yuran-konvokesyen