UiTM Cawangan Pahang Sahut Matlamat SDG 2030

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) mula menjadi topik perbincangan pada tahun 1987 dalam satu laporan bertajuk “Our Common Future”. Objektif utama SDG adalah untuk memenuhi matlamat pembangunan dan kehidupan semasa tanpa mengabaikan hak generasi berikutnya. Tiga teras utama pembangunan lestari melibatkan sudut alam sekitar, ekonomi dan sosial.

Bagi menjayakan SDG 2030, universiti sebagai agen perubahan utama masyarakat perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam memacu agenda pembangunan negara. Pembabitan universiti secara langsung dalam agenda transformasi negara sangat diperlukan supaya rancangan SDG 2030 tidak terkeluar daripada landasan asal yang bermatlamat untuk menyediakan keperluan dunia yang lebih lestari pada masa hadapan. Bagi menyahut seruan ini, Fakulti Perakaunan (FPN), UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Temerloh telah melaksanakan satu program mengisi e-filing sebagai aktiviti tahunan. Objektif program ini adalah untuk membantu staf UiTM Cawangan Pahang mengisi borang cukai pendapatan bagi tahun taksiran serta memberi khidmat nasihat mengenai percukaian khususnya cukai pendapatan individu. Pihak ahli fakulti bertindak sebagai fasilitator dengan bantuan pihak LHDN.

Program seumpama ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai cara-cara mengisi borang cukai pendapatan individu dengan betul dan berintegriti. Selain itu, ia secara tidak langsung telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara memandangkan hasil kutipan cukai ini mampu menjana pendapatan negara. Program seumpama ini juga akan diperluaskan kepada komuniti setempat bagi membantu penduduk sekitar Jengka mengisi e-filing.

Berdasarkan pelan strategik universiti, program ini dapat mengukuhkan misi jangka panjang dan sederhana UiTM agar berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai gedung ilmu. Teras SDG-17 iaitu Kerjasama Demi Matlamat adalah sangat bertepatan dengan program yang dianjurkan oleh UiTM Cawangan Pahang sekaligus dapat dirangkumkan bagi menjayakan teras SDG utama lainnya seperti pekerjaan yang sesuai, pertumbuhan ekonomi, pendidikan berkualiti dan juga pembasmian kemiskinan melalui hasil cukai yang dijana oleh kerajaan.