UiTM Kembangkan Ilmu Kriminologi Kewangan Hasil Kerjasama Dengan SPRM Dan Universiti Antarabangsa Di United Kingdom

CAMBRIDGE, 25 OGOS 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) telah memperkenal dan mengembangkan ilmu kriminologi kewangan ke peringkat antarabangsa dalam satu persidangan yang diadakan di Tritity Hall, Cambridge University pada hari ini. Persidangan itu telah dirasmikan oleh Tan Sri Dato Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) manakala Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hjh. Roziah Mohd Janor telah merasmikan sesi penutup persidangan tersebut.

Dalam ucaptama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato Sri Azam Baki berkata, “Kerjasama dan tindak balas global yang diselaraskan dengan baik akan meningkatkan budaya organisasi dan tingkah laku beretika yang positif untuk memerangi rasuah, penipuan dan jenayah ekonomi.

Seramai 120 orang peserta mengikuti persidangan tersebut yang terdiri daripada ahli akademik dari University of Northumbria, The University of Edinburgh, Edinburgh Napier University, University of West London, University of International dan pengamal industri dari United Kingdom (UK), Norway, Malaysia, Indonesia, Thailand, India dan Bangladesh.

Sebanyak 70 kertas kerja telah dibentangkan yang bakal menguatkan lagi langkah-langkah pencegahan di dalam isu kriminologi kewangan seperti pengubahan wang haram, rasuah, dan penipuan.

Persidangan tersebut juga berlangsung seiring dengan persidangan meja bulat kepimpinan strategik  (Strategik Leadership Roundtable@Oxford-Cambridge) pada 22-25 Ogos 2022. Sebanyak 21 persetujuan kerjasama telah ditandatangani di antara universiti dan organisasi, termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta universiti luar negara bertempat di Said Business School, Oxford University dan di WYNG Trinity, Cambridge University, UK.