UiTM Degree Fashion Show- Dichotomy 2022

 

SHAH ALAM, 14 OGOS 2022 – Pertunjukan UiTM Degree Fashion Show – DICHOTOMY 2022 telah diadakan bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA. Seramai 24 Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam telah mempersembahkan koleksi pakaian pelbagai variasi tema, inspirasi dan kategori yang menyerlahkan bakat dan potensi mereka dalam dunia rekaan fesyen.

Setiap pelajar telah menghasilkan satu koleksi rekaan yang terdiri daripada empat (4) rekaan lengkap dengan padanan aksesori. Jumlah keseluruhan pakaian yang telah diperagakan adalah sebanyak 72 helaian. Kesemua koleksi rekaan yang telah dipersembahkan adalah hasil kerja keras, usaha dan titik peluh para pelajar tahun akhir sepanjang tahun ini. Setiap koleksi bermula dengan proses penyelidikan tentang variasi inspirasi, serta pelbagai tema yang telah dipilih termasuk juga ramalan fesyen, aliran pasaran – seterusnya proses lakaran serta pembuatan pakaian.

 

Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor berkata, “kita harus memberi peluang dan ruang kepada pereka-pereka muda ini untuk berkarya dan bersama-sama menyemarak industri fesyen negara. Ini kerana graduan Senireka Fesyen UiTM bukan hanya tertumpu sebagai pereka fesyen, malah ada di antara mereka menjadi usahawan dalam industri ini yang bekerja sebagai pereka kostum, penata gaya, penata busana, penulis dan pengkritik fesyen serta pengurus dan pekerja mahir dalam industri pembuatan pakaian, pemasaran dan banyak lagi bidang yang berkaitan dengan industri fesyen tempatan dan antarabangsa.”

“Malah, saya berasa bangga kerana Jabatan Senireka Fesyen UiTM telah melahirkan ramai pereka fesyen terkemuka tanah air. Di antaranya, Dato’ Rizalman Ibrahim yang kini dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti. Jelas ini menunjukkan bahawa UiTM bukan hanya cemerlang melahirkan graduan-graduan yang cemerlang di peringkat kolej pengajian,  tetapi juga mampu melahirkan mahasiswa yang mengharumkan nama Universiti dan Negara ke peringkat global.”, ujar beliau.

Rekaan dan penciptaan yang dihasilkan oleh para pelajar dapat dilihat bagaimana pelajar-pelajar ini bereksperimentasi dengan garisan, tekstur, warna, serta variasi manipulasi teknik pola dan sulaman untuk memberikan impak kepada koleksi rekaan mereka.

Setiap rekaan telah dinilai oleh lima (5) juri yang berprestij yang terdiri daripada:

Rizman Nordin – Pengarah Kreatif/ Urusan Rizman Ruzaini

Wan Ruzaini Wan Jamil – Pengarah Kreatif/ Urusan Rizman Ruzaini

Kit Woo – Pengasas KLFW

Halim Zainal Abidin – Alumni UiTM

Akma Suriati Awang – Pengerusi IFC Chapter Malang, Indonesia

UiTM Degree Fashion Show 2022 anjuran Jabatan Senireka Fesyen, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM merupakan pentas para pelajar untuk mempersembahkan segala potensi dan bakat mereka kepada para pensyarah, masyarakat serta industri fesyen. Harapan kami moga pereka-pereka muda ini bakal menjadi pelapis industri yang boleh dibanggakan pada masa hadapan.