Program USR Kunjungan Kasih 1.0 : Menyantuni Warga Emas

KEPALA BATAS, PULAU PINANG: Berdasarkan keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga emas terutamanya individu berusia yang terpaksa tinggal berjauhan daripada keluarga masing-masing akibat masalah penjagaan dan kesihatan, Fakulti Farmasi Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah menganjurkan Program Kunjungan Kasih 1.0 yang melibatkan 67 orang penghuni warga emas Pusat Jagaan Darul Hanan yang bertempat di Pongsu Seribu, Kepala Batas, Pulau Pinang pada hari Jumaat, 1 Julai 2022.

Seramai 41 pelajar semester 4 Diploma Farmasi terlibat dalam program ini yang turut dijayakan dengan kerjasama pensyarah Fakulti Farmasi serta rakan strategik industri, iaitu syarikat pengeluar produk pemanis semulajadi stevia tanpa kalori, Manis Leting Sdn Bhd dan juga Farmasi Raha Sdn Bhd yang merupakan sebuah kedai farmasi milik salah seorang alumni Diploma Farmasi, iaitu En. Abdul Mukmin bin Abd Rasid. Pengarah Program, Dr. Noor Hazarina Nordin, dalam ucapannya memaklumkan bahawa Program Kunjungan Kasih 1.0 yang dianjurkan oleh pihak Fakulti Farmasi ini bakal dilaksanakan secara bersiri sebagai inisiatif untuk mengukuhkan jalinan kolaborasi di antara UiTM dengan industri, komuniti dan juga alumni. Pensyarah Fakulti Farmasi yang turut hadir ialah Dr. Siti Nur Fadzilah Muhsain, Pn. Nursyuhadah Othman, En. Nor Amin Hassan dan En. Mohd Ikhmal Hanif Abdul Khalid.

Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penyelia Darul Hanan, En. Nassir Sulaiman kepada para pelajar dan pensyarah berkenaan sejarah penubuhan dan pengoperasian Pusat Jagaan Darul Hanan. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dijalankan oleh warga UiTM yang terlibat dan turut disertai oleh pengarah dan pemilik syarikat Manis Leting Sdn Bhd, iaitu Pn Atirah Danial Norman dan Pn. Amirah Jasmine Norman. Program ini disulami dengan aktiviti pelajar beramah mesra bersama penghuni warga emas, dan akhirnya disudahi dengan penyampaian cenderamata yang berupa produk pemanis semulajadi stevia oleh pemilik syarikat Manis Leting Sdn Bhd. kepada semua penghuni warga emas. Menurut pelajar Siti Izzah Atirah Abu Samah, program ini memberi dapat peluang kepada pelajar untuk mencurahkan khidmat bakti kepada komuniti Darul Hanan khususnya, disamping memanfaatkan skil komunikasi pelajar melalui pendedahan dan pengalaman sebenar berinteraksi secara berkesan dengan warga emas di sepanjang berlangsungnya program ini.

Melalui perlaksanaan program ini, bukan sahaja penerapan modal insaniah dapat dipupuk di kalangan pelajar, malah sikap cakna dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh pelajar UiTM kepada golongan warga emas diharapkan dapat membantu warga emas untuk menikmati keseimbangan dalam lima dimensi utama kesejahteraan sebagaimana yang terkandung dalam Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang digubal oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, iaitu dimensi kesihatan (penuaan sihat), sosial (penuaan aktif), ekonomi (penuaan produktif), kerohanian (penuaan positif) dan persekitaran (penuaan menyokong).