UiTM dan UPLB Meterai Kerjasama Dalam Memperkukuh Inisiatif Konservasi Biodiversiti, Pengurusan Kawasan Perlindungan dan Pembangunan Komuniti Lestari di Peringkat Asean

LOS BAÑOS, 23 DISEMBER 2022– Pada 13 Disember 2022 lalu, satu Memorandum Persefahaman dimeterai antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Pusat Pengajian Pengurusan Taman dan Ameniti, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) dengan University of the Philippines Los Baños (UPLB) bagi memperteguh aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan antara kedua-dua institusi ini. MoU dimeterai antara Naib Canselor UiTM Professor, Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dengan Canselor UPLB, Professor Dr. Jose V. Camacho Jr. di Manza Hall, College of Forestry and Natural Resources (CFNR), UPLB, Laguna, Filipina.

Tujuan utama perjanjian persefahaman ini adalah untuk membina jaringan hubungan yang membolehkan ruang perkongsian dibuka secara rasmi khususnya dalam bidang pengurusan taman dan ameniti melalui latihan kepakaran, kecekapan, pertukaran kakitangan akademik dan pengurusan professional. Antara lain, kolaborasi dinamik ini menjurus kepada pengukuhan sinergi dan kerjasama strategik ke arah mewujudkan rangkaian kelestarian berkaitan konservasi biodiversiti, pengurusan kawasan perlindungan dan pembangunan komuniti antara dua negara sesuai kepada usaha KAB bagi mencapai agenda ‘Global Reknown University’, UiTM, serta menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

Selaras dengan inisiatif untuk meletakkan imej UiTM di peringkat antarabangsa, MoU yang telah ditandatangan ini akan dijalin selama tempoh 3 tahun turut bermatlamat untuk mengembangkan peluang dan potensi pertukaran pelajar (student mobility) diantara kedua-dua universiti terutamanya dalam bidang akademik, penyelidikan, latihan industri dan kepimpinan, kebudayaan, inovasi sosial serta hubungan antarabangsa. Selanjutnya, ia mempamerkan usaha untuk menanjakkan nama UiTM ke persada dunia dalam semua aspek termasuk kebolehpasaran graduan, membentuk sahsiah jati diri, berkemahiran intrapersonal, interpersonal, lebih intelektual, berketerampilan dan teknologi terkedepan dalam mengharungi era globalisasi ini.

Canselor UPLB, Professor Dr. Jose V. Camacho Jr., menyatakan hasrat UPLB melalui MoU yang dimeterai agar kerjasama ini dapat merapatkan hubungan antara dua negara terutamanya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan saintifik dan sains sosial serta profesionalisme. Dalam pada itu, Penolong Naib Canselor KAB, Professor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah yang mewakili Naib Canselor UiTM berharap agar MoU ini dapat dimanfaatkan dengan penghasilan penyelidikan berwasit tinggi dan kemenjadian graduan dengan kepakaran dalam bidang.

University of the Philippines Los Baños (UPLB) yang ditubuhkan pada tahun 1908 merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang telah dengan cemerlang menjana pelbagai penemuan dalam penyelidikan dan mempunyai kepimpinan utuh dalam bidang pertanian, perubatan veterinar dan pendidikan perhutanan khususnya di Filipina dan amnya di Asia Tenggara. Sebagai universiti yang menawarkan program perintis, UPLB menjadi model ikutan dikalangan kolej dan universiti lain yang menawarkan program yang sama di seluruh negara. Malahan, program yang terkini seperti kejuruteraan, sains alam sekitar, komunikasi pembangunan, ekonomi dan pengurusan, dasar dan tadbir urus, ekologi manusia, teknologi maklumat dan komunikasi, pengurusan manusia dan alam sekitar, dan sains asas turut menjadi acuan kepada universiti di Filipina dan di rantau Asia Tenggara.

Signifikan jalinan persefahaman ini dilihat memberi kelebihan kepada UiTM apabila UPLB menjadi hos kepada beberapa pusat penyelidikan antaranya ialah ASEAN Centre for Biodiversity (ACB), World Agroforestry Centre, International Rice Research Institute (IRRI) dan Southeast Asian Regional Centre for Graduate Study and Research in Agriculture (SEARCA). Menariknya, dengan bidang kuasa UPLB di bawah Makiling Centre for Mountain Ecosystems (MCME), CFNR telah dipertanggungjawab untuk mengurus dan memulihara kawasan perlindungan Gunung Makiling (Mt. Makiling) yang juga diiktiraf sebagai Taman Warisan ASEAN berkeluasan 300 hektar, di mana 7% dari keseluruhan kawasan kampus Los Baños itu sendiri. Tidak hairan jika kawasan perlindungan Gunung Makiling ini dimanfaatkan sebagai makmal lapangan dan pusat pelaksanaan program demonstrasi penyelidikan bersepadu bagi warga UPLB serta kawasan ekopelancongan terkenal dikalangan masyarakat setempat dan antarabangsa.

Turut hadir pada majlis ini ialah Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), Professor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Ketua Pusat Pembangunan Komuniti Lestari (SCDC), Dr. Mohd. Salleh Daim, Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Taman dan Ameniti, Puan Siti Noorbaizura Bookhari, Koordinator Latihan Industri, Datin Seri Mazzueen Md. Khalid, Penasihat Pembangunan Pelajar, Puan Mas Aiyu Jamaludin serta barisan pengurusan tertinggi College of Forestry and Natural Resources (CFNR), UPLB.