UiTM dan Masjid As-Solihin Bekerjasama Meningkatkan Kesedaran Keselamatan Siber

Padang Jawa, 16 Disember 2023 – Langkah proaktif telah diambil untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber komuniti Padang Jawa. Bergerak di bawah program “Service Learning Malaysia University for Society’ (SULAM), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) Universiti Teknologi MARA Shah Alam bersama Masjid As-Solihin, Kampung Padang Jawa telah berjaya menganjurkan “Bengkel Kesedaran Keselamatan Siber”. 

Lebih 30 orang peserta menyertai bengkel ini yang bertempat di Dewan Jamaluddin, Masjid As-Solihin. Saudara Muhammad Azri Arif Bin Mohd Yusof  dari program Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Rangkaian Komputer selaku Pengarah Program berserta 21 orang mahasiswa KPPIM telah memberi pendedahan kepada kariah kanak-kanak dan remaja Masjid As-Solihun akan ancaman siber yang semakin kompleks di era globalisasi hari ini. Setiap peserta menerima sijil penyertaan di akhir program.

Ahli Jawatankuasa Masjid As-Solihin amat menyokong kemenjadian program yang telah dijalankan. Menurut Nazir Masjid As-Solihin, En. Soleh Bin Ahmad, “Teknologi siber ada kebaikannya tetapi jika disalahgunakan, ia boleh menjadi buruk. Semoga para peserta mengambil nilai baik dari bengkel ini untuk melindungi diri daripada jenayah siber”.

Menurut salah seorang peserta, Muhammad Fahmy bin Muhammad Hafiz, “Bengkel ini mampu membantu masyarakat peka akan keperluan keselamatan siber”. Menurut Nurul Syuhadah binti Rahman, juga salah seorang peserta, “Bengkel ini membantu meningkatkan pengetahuan keselamatan siber”. Maklum balas daripada para peserta membuktikan keteguhan nilai yang dipegang oleh UiTM di mana bukan sahaja pelajar harus celik teknologi, malah masyarakat sekeliling juga perlu mendapat manfaat daripada pembangunan teknologi dan pengembangan ilmu.

Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.