Lawatan Kerja Persatuan GEOMASS UiTM CAWANGAN PERLIS KE UiTM SHAH ALAM.

18 Disember 2023, Isnin – Persatuan GEOMASS, UiTM Cawangan Perlis telah mengadakan mesyuarat dan lawatan kerja bersama Persatuan GEOMASS, UiTM Shah Alam, di Bilik Mesyuarat Pengajian Sains Ukur Geomatik dan Sumber Alam, Kolej Pengajian Alam Bina.

Turut bersama-sama dalam sesi ini adalah Ybrs Prof Madya Ts Sr Dr Saiful Aman Sulaiman selaku Ketua Pusat Pengajian, Sr Dr Mohd Syahmi Said selaku (Penasihat GEOMASS, UiTM Shah Alam), Sr Mohd Khairy Kamarudin (Pengerusi 1), Sr Gs Norfatekah Binti Talib (Pengerusi II), Gs Sr Dr Fazly Amri Bin Mohd (Pengerusi Pengumpul Data Aktiviti), barisan pensyarah, saudara Muhammad Sufyan Zakwan bin Hirwandy (Presiden Geomass UiTM Cawangan Perlis), dan Ahli Jawatankuasa GEOMASS masing-masing.

Objektif lawatan kerja ini adalah menyelaraskan dan membentangkan program yang akan dijalankan pada semester akan datang bersama-sama selain memperkenalkan Ahli Mesyuarat Tertinggi GEOMASS.

Menerusi kata aluan mesyuarat oleh Ketua Pusat Pengajian, Ybrs. Prof Madya Sr Dr Saiful menasihatkan dan menyarankan persatuan GEOMASS kedua-dua kampus perlu terus mempunyai sinergi bersama dan terus memberikan sokongan serta menyertai setiap program yang akan dijalankan oleh Persatuan GEOMASS kelak.

Bagi wakil Persatuan GEOMASS UiTM Cawangan Perlis, Saudara Muhammad Sufyan Zakwan bin Hirwandy (Presiden GEOMASS) telah menerangkan dan membentangkan aktiviti-aktiviti pelajar yang telah dan akan di jalankan pada semester 2023/2024 kepada ahli mesyuarat.

Selama mesyuarat berlangsung, isu mengenai yuran Persatuan GEOMASS telah diutarakan dan menjadi masalah besar bagi kedua-dua pihak. Perlaksanaan program yang diadakan perlu mendapatkan dana sampingan bagi menampung kos program yang dijalankan.

Setelah mesyuarat selesai, para MTG Persatuan GEOMASS UiTM Cawangan Perlis di bawa melawat persekitaran bangunan Pengajian Sains Ukur Geomatik dan Sumber Alam dan juga Perpustakaan UiTM (PTAR I).

Setelah selesai, ahli rombongan Persatuan GEOMASS UiTM Cawangan Perlis bertolak pula ke Rumah Amal Bistari, Setia Alam, Selangor. Di sana, para pelajar dan penasihat GEOMASS mengambil kesempatan beramah mesra bersama penghuni Rumah Amal Bistari selain menyampaikan sumbangan wang ringgit.

Semoga perjalanan program yang bakal dijalankan ini, dipermudahkan dan mendapat sokongan padu daripada semua warga Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perlis dan UiTM Shah Alam.