SHAH ALAM, 1 APRIL 2022 – Universiti Teknologi MARA, Malaysia (UiTM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menandatangani pembaharuan memorandum persefahaman (MOU) dan memorandum perjanjian (MoA) di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UITM hari ini.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor menjelaskan bahawa perkongsian strategik ini akan memberi ruang kepada UiTM, terutamanya dalam kejuruteraan pembuatan pintar, serta kepakaran dalam bidang lain, untuk bekerjasama dengan KTMB; dan pada masa yang sama melahirkan graduan yang bersedia untuk industri rel.
Beliau berkata, “Kerjasama antara UiTM dan KTMB akan memberikan kedua-dua pihak dan bakal pelanggan, industri serta orang ramai, akses yang lebih baik kepada kemudahan terkini di Smart Manufacturing Research Institute (SMRI) serta kemudahan lain di seluruh UiTM. Hubungan dan perkongsian industri yang terjalin ini penting dalam memastikan penyelidikan dan inovasi serta pengajaran dan pembelajaran UiTM kekal berimpak tinggi serta mampan dari aspek komersil bagi pihak industri dan komuniti bagi meningkatkan prestasi pengeluaran dan ekonomi melangkaui wabak ini”. Kerjasama penyelidikan adalah dalam bentuk perkongsian kepakaran oleh kumpulan penyelidik UiTM dengan KTMB yang telah dimeterai dalam perjanjian persefahaman sebelum ini.
“KTMB sentiasa mengalukan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak. Terbaharu, bersama UiTM Shah Alam. Kerjasama ini mampu membantu mengkaji dan membuka peluang pendidikan dan pembangunan modal insan dalam perkhidmatan berkaitan dengan keretapi, menurut Mohd Rani Hisham Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Tambahnya lagi “MoA ini terbuka untuk 500 orang melalui bengkel latihan industri, program pertandingan khusus MOT dan program di peringkat antarabangsa”.