UiTM Dan Brunei Kerjasama Dinamik Mewujudkan Rangkaian Kelestarian Dalam Bidang Alam Bina Di Peringkat Asean

SHAH ALAM, 19 JULAI 2022– Satu Memorandum Persefahaman dimeterai antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur dengan Brunei Institution of Geomatic (B.I.G) dan M.D Associates bagi membangun dan menambah baik pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan antara institusi kedua negara. MoU dimeterai antara Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dengan Presiden Brunei Institution of Geomatics, Haji Ali Bakar Haji Kasim dan juga Perunding Utama M.D Associates, Mohd Don Omar di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.

Perjanjian persefahaman ini bertujuan membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan ilmu khususnya dalam bidang hartanah melalui program, aktiviti, seminar, penyelidikan dan lain-lain perantara sesuai perancangan. Selain itu, kolaborasi ini juga dilihat sebagai langkah strategik mengukuhkan sinergi dan kerjasama dinamik ke arah mewujudkan rangkaian kelestarian bidang alam bina antara dua negara sesuai agenda pengantarabangsaan dan penarafan UiTM.

MoU yang akan dijalin selama tempoh 3 tahun mendatang ini juga antara lain bertujuan mempromosi, membina dan memperkasakan aktiviti-aktiviti pelajar UiTM dalam bidang penyelidikan, latihan industri dan inovasi sosial serta aktiviti-aktiviti lain yang berupaya meletakkan imej UiTM di persada antarabangsa. Dengan adanya program sebegini, ia dilihat dapat menaikkan lagi nama UiTM ke persada dunia bukan sahaja dalam bidang Pendidikan malah merangkumi semua aspek termasuk kebolehpasaran graduan UiTM dalam membina jati diri dan kemahiran interpersonal, juga di bidang kerjaya yang semakin mencabar dengan innovasi yang pelbagai dari industri.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata Usaha pengkongsian ilmu menerusi aktiviti ‘Collaborative Teaching’ ini amat dititikberatkan oleh UiTM dalam usaha mendedahkan pelajar dengan ilmu pendidikan dan amalan industri secara global.

Gabungan kerjasama antara Brunei Institution of Geomatics (BIG), M.D. Associates dan UiTM melalui Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan Ukur ini diyakini mampu memberi nilai tambah kepada usaha memperkasakan bidang pengurusan hartanah bukan sahaja di Malaysia dan Brunei, bahkan juga ke peringkat ASEAN, tambahnya lagi.

Brunei Institution of Geomatic (B.I.G) merupakan sebuah institusi profesional berkaitan geomatik yang ditubuhkan pada tahun 2002 bertujuan untuk mempromosi dan memajukan sains, praktis dan aplikasi geomatik untuk kemajuan manusia dan masyarakat selain memupuk kerjasama antarabangsa dan pemindahan teknologi. Manakala M.D. Associates pula adalah antara perintis syarikat penilaian dan perunding hartanah profesional di Brunei yang ditubuhkan sejak tahun 1994.

Turut hadir pada majlis ini ialah pengurusan tertinggi UiTM, Dekan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur dan wakil-wakil dari Brunei Institution of Geomatic juga M.D. Associates.