UiTM Ceriakan Pencinta Buku: Hari Penuh Cerita dan Senyuman Buat Anak Cilik

Padang Jawa, 13 Disember 2023 – Dalam usaha untuk mencetuskan minat membaca di kalangan anak cilik, sebuah program sastera bertajuk “Suatu Ekspresi Melalui Pembacaan” di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) telah berjaya dianjurkan Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Perdana.

Program yang bernaung di bawah projek “Children Librarianship” itu disertai seramai 50 orang kanak-kanak prasekolah serta 4 orang guru. Program yang telah direka untuk meningkatkan kemahiran kognitif, sosial dan emosi sambil memupuk potensi dan daya saing disambut amat baik oleh komuniti prasekolah kerana ia menawarkan pendekataan interaktif dalam menyemai minat membaca. Program ini turut melibatkan 41 mahasiswa program Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan.

Sebelum pelaksanaan program, mahasiswa UiTM telah bekerjasama rapat untuk menyediakan pelbagai aktiviti bersesuaian yang turut mencerminkan kepelbagaian budaya komuniti sekolah. Hasilnya “Pembinaan Straw” serta “Sesi Bercerita” bertindak sebagai ciri utama program.

Pembinaan Straw mencabar anak-anak cilik untuk membina sebarang struktur yang menunjukkan kreativiti serta semangat kerjasama sambil mempelajari kepentingan rekabentuk struktur dan kejuruteraan. Sesi Bercerita seterusnya memupuk kesedaran tentang tanggungjawab masyarakat, perlindungan alam sekitar dan tingkah laku beretika. Menggunakan pelbagai elemen multimedia, sesi interaktif ini turut menggalakkan perbincangan di kalangan peserta secara aktif.

Pn Fatin Hamirah Roslan, salah seorang guru prasekolah, memberi maklumbalas positif akan kemenjadian program, “Aktiviti Pembinaan Straw dan Sesi Bercerita membantu menekankan kepentingan penyampaian ilmu luar kotak kerana ia membolehkan kanak-kanak meluahkan kreativiti dan kebolehan menyelesaikan masalah. Malah mereka dapat menyerap nilai-nilai penting yang melangkaui skop pendidikan standard”. Secara keseluruhannya, program yang dijalankan amat berjaya kerana ia amat dekat dengan minat anak-anak cilik.

Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.