UiTM Cawangan Selangor Johan Pertandingan IPT Bebas Denggi Peringkat Kebangsaan 2023

SUBANG JAYA, 15 Oktober 2023 – UiTM Cawangan Selangor berjaya merangkul dua anugerah iaitu JOHAN Keseluruhan dan Anugerah Pengurusan Denggi Terbaik pertandingan Anugerah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bebas Denggi Peringkat Kebangsaan 2023. Keputusan pertandingan itu telah diumumkan di Konvensyen MyCHAMPION@KKM Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan.

Dalam usaha memastikan kemenangan tersebut, UiTM Cawangan Selangor telah menubuhkan satu pasukan khas yang dinamakan Task Force UCS Bebas Denggi. Pasukan ini mempunyai keanggotaan yang unik dari pelbagai klasifikasi skim perkhidmatan dari UD (pegawai perubatan), skim N (pentadbiran dan sokongan) skim J (kejuruteraan), Skim W (kewangan), pasukan penyelidik fakulti dan persatuan pelajar.

UiTM Cawangan Selangor juga telah memperkenalkan satu program kawalan denggi peringkat kampus dengan jenama D-Guard bagi mengelakkan peningkatan kes demam denggi di UCS. Program ini merupakan satu inisiatif penglibatan merentas jabatan merangkumi pelbagai lapisan warga kampus termasuk pasukan penyelidik fakulti, pengurusan eksekutif, pentadbiran, pihak konsesi dan pelajar. Ianya suatu cetusan idea inovatif yang menggabungkan elemen kawalan mikro dan makro bagi menangani isu demam denggi di Kampus Puncak Alam dan Kampus Puncak Perdana, UiTM Cawangan Selangor.

Projek D-Guard melibatkan 2 komponen utama iaitu kaedah kawalan mikro, yang merupakan satu inovasi alat dinamakan Abate Dispenser yang diletakkan di tempat yang strategik dan mudah dicapai. Ianya adalah kaedah kawalan di peringkat ‘end-user’ yang mana racun abate boleh didapati dengan mudah untuk ditabur di tempat takungan air. Bagi kaedah kawalan makro pula, MosquiBuster iaitu satu formulasi menggunakan bahan organik untuk ‘menarik dan membunuh’ nyamuk dewasa telah digunakan. Formulasi ini diletakkan di dalam medium seperti ovitrap dan diletakkan di liputan kawasan yang lebih luas.

YBhg. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor yang mewakili Task Force UCS Bebas Denggi menghadiri majlis penyampaian hadiah itu turut mengucapkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Pengurusan Eksekutif UiTM Cawangan Selangor, Unit Kesihatan UCS, Pejabat Fasiliti UCS, Bahagian Pentadbiran Sumber Manusia UCS, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UCS, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi UCS, penyelidik UCS dan agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Derah Petaling Jaya dan Kuala Selangor, dan MBSA serta NGO yang terlibat dalam program-program kesedaran denggi di UCS. Kerjasama pelbagai pihak ini yang telah memainkan peranan penting dalam kawalan denggi dengan memimpin, melaksanakan, dan mengkoordinasikan usaha-usaha kawalan dan pencegahan penyakit denggi di dalam kampus. Semoga usaha ini diteruskan dan menjadikan UiTM Cawangan Selangor bebas denggi. TAHNIAH warga UCS!

#UCSCemerlang