UiTM Cawangan Sarawak Terus Perkasa Nilai Keusahawanan Di Kalangan Pelajar

SAMARAHAN, 5 Mei 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus memperkasa nilai keusahawanan di kalangan para pelajar menerusi penganjuran Karnival Keusahawanan Zon Borneo 2023 yang berlangsung pada 3 Mei 2023 bertempat di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan. Karnival kali ini ditaja oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Bahagian Perancangan Strategik (BPS) berlangsung selama sehari dan turut melibatkan kolaborasi strategik keusahawanan dengan penglibatan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di samping pelbagai agensi kerajaan, swasta serta institusi pengajian tinggi yang lain.

Melalui penganjuran karnival ini nilai keusahawanan pelajar dapat dipertingkatkan serta memudahkan proses membimbing mereka melalui latihan dan mentor keusahawanan. Selain itu, karnival tersebut juga dapat menerapkan nilai dan budaya keusahawanan untuk menganjak minda pelajar daripada pencari kerja kepada pencipta kerjaya. Di antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi perkongsian maklumat berkaitan bantuan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi dalam usaha membantu usahawan pelajar mengembangkan perusahaan dan idea melalui pendanaan dan khidmat kepakaran. Selain itu, sesi padanan perniagaan atau businees pitching turut diadakan supaya usahawan pelajar dapat membentangkan idea perniagaan dihadapan agensi yang terlibat. Kesinambungannya, pelajar usahawan yang berpotensi akan mendapatkan sejumlah dana perniagaan yang bersesuaian mengikut kelayakan dan potensi produk mereka. Sesi padanan perniagaan ini turut melibatkan para usahawan pelajar daripada UiTM Cawangan Sarawak serta pelajar usahawan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Politeknik Mukah, Kolej Komuniti yang telah dijemput untuk membentangkan idea perniagaan masing-masing pada sesi ini.

Pada masa yang sama, keunikan karnival kali ini adalah melibatkan perkongsian pengalaman perniagaan oleh beberapa alumni UiTM yang telah berjaya memulakan dan meneruskan perniagaan sendiri setelah mereka menamatkan pengajian. Sesi perkongisan tersebut memberi pendedahan kepada usahawan pelajar mengenai selok-belok dunia perniagaan sebenar. Menerusi penganjuran program keusahawanan sebegini, usahawan pelajar dan bakal usahawan di kalangan pelajar diharap dapat memperoleh ilmu keusahawanan yang dapat meningkatkan taraf hidup masing-masing setelah tamat belajar. Dianggarkan lebih 500 peserta di jangka menghadiri karnival kali ini yang bermula jam 8.00 pagi dan tamat sekitar jam 5.00 petang. Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Pn. Nooraidah binti Abdullah, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia dan turut dihadiri Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Universiti Teknologi MARA dan Prof. Dato Dr. Jamil Hj. Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak. Turut hadir adalah pengarah-pengarah pusat keusahawanan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), MASMED UiTM, Universiti Sains Malaysia (USM), Kolej Komuniti Kuching, dan Politeknik Kuching Sarawak serta wakil agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Corporation Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), dan Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Sarawak dan agensi perbankan seperti Bank Kerjasama Rakyat.