Program Bersama Komuniti – Terapi Fizikal Untuk Kanak-Kanak Berkeperluan khas

TASEK GELUGOR, 8 Mei 2023 – Program Diploma Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah mengadakan program bersama komuniti yang terdiri daripada 30 orang pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pokok Sena, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Pelatih-pelatih ini kebanyakannya mempunyai masalah pergerakan motor kasar yang terdiri daripada kondisi seperti Cerebral Palsi dan lewat perkembangan.

Program “OT With PDK: Pengendalian Motor Kasar Kanak-kanak” ini telah dirasmikan oleh Encik Amir Heberd bin Abdullah selaku Penolong Rektor, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam. Turut hadir ialah penyelaras Program Diploma Pemulihan Cara Kerja, Puan Siti Salwa binti Talib, pensyarah-pensyarah UiTM, penyelia PDK, petugas-petugas PDK, dan para ibu bapa dan penjaga.

Program ini bertujuan untuk mengaplikasikan kursus yang diambil oleh mahasiswa Program Diploma Pemulihan Cara Kerja kepada para pelatih di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pokok Sena. Program ini dimulakan dengan sesi ceramah mengenai pengendalian motor kasar terhadap kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai masalah fizikal. yang disampaikan oleh Encik Muhammad Iqbal Bin Shaharudin dan Encik Muhammad Radhi Rahimi bin Abu Bakar kepada para ibu bapa pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Di samping itu, terdapat aktiviti sampingan yang dijalankan pada waktu yang sama ketika ceramah berlangsung. Aktiviti sampingan ini hanya melibatkan para pelatih dan beberapa ahli fasilitator daripada kelab Occupational Therapy Students’ Association (OTHENS).

Setelah selesai aktiviti ceramah, para pelatih terlibat dalam aktiviti ‘hands-on’ pendekatan sensorimotor dan aktiviti kawalan postur. Aktiviti ini menyentuh secara menyeluruh teknik-teknik asas yang boleh dipraktikkan oleh penjaga dan juga ibu bapa seperti regangan, senaman dan pergerakan posisi badan mengikut kondisi kanak-kanak tersebut.

Kesemua 36 orang mahasiswa telah bertindak selaku fasilitator dalam program dan aktiviti tersebut. Hasil dari program ini telah memberikan peluang kepada para mahasiswa yang terlibat dalam pendedahan kepada kanak-kanak berkeperluan khas dalam mengaplikasi teknik dan intervensi dalam gangguan perkembangan motor dan pergerakan dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.

Sambutan dan maklum balas daripada pihak PDK dan para ibubapa serta amat memberangsangkan dan para peserta juga memberikan kerjasama sepanjang program ini dijalankan. Kebolehan peserta untuk melakukan aktiviti amat dikagumi.

Pihak penganjur iaitu Program Diploma Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua jawatankuasa program, para pensyarah, pengurusan PDK, petugas-petugas dan pelatih PDK yang terlibat bagi menjayakan program ini. Diharapkan program komuniti sedemikian dapat dijalankan di masa akan datang.