KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak baru-baru ini telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Bank Islam Malaysia Berhad, yang diketuai oleh Tuan Haji Abdul Malek bin Abdullah, Pengurus Wilayah Malaysia Timur. Antara lain tujuan kunjungan ini adalah untuk menyerahkan sumbangan zakat IPTA UiTM kepada pihak UiTM Cawangan Sarawak. Sumbangan ini diserahkan sendiri oleh Tuan Haji Abdul Malek bin Abdullah kepada Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali dalam satu majlis ringkas. Program penyerahan zakat ini berlangsung pada 23 Disember 2020 (Rabu) di Bilik Mesyuarat Utama UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan.
Sumbangan zakat ini adalah untuk membantu mahasiswa dan mahasiswi dari golongan B40 yang sedang menuntut di UiTM Cawangan Sarawak. Sumbangan ini juga diharapkan dapat memberikan kelegaan kepada pelajar yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Turut hadir dalam majlis tersebut empat orang wakil daripada Bank Islam Berhad Cawangan Sarawak, iaitu Encik Ahmad Herni Bejamin (Pengurus Urusan Pengguna), Encik Kameri Edi (Pengurus Deposit), Encik Mohd Amirul Abdullah (Pengurus Deposit) dan Encik Azeni Sahat (Pengurus Cawangan), serta beberapa pengawai pengurusan kanan UiTM Cawangan Sarawak.