Kepentingan BIM dalam Senibina dan Rekabentuk Dalaman

 

 

Pada tanggal 27 November 2020, Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD), sekali lagi menganjurkan webinar dengan tajuk ‘BIM in Architecture and Interior Design’. Pelajar, pendidik dan profesional dalam bidang senibina dan rekabentuk dalaman, dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) UiTM dan juga dari institusi-institusi luar telah menyertai webinar yang berlangsung selama dua jam ini. Moderator bagi sesi perkongsian ini ialah pensyarah PPSD UiTM Puncak Alam, Noorul Nadya Shaharum. Penceramah yang diundang khas bagi berkongsi pengetahuan mengenai ‘Building Information Modelling’ (BIM) ialah Ar. Zamri Ismail yang berpengalaman luas dalam kemahiran dan penggunaan BIM.

Ar. Zamri Ismail merupakan graduan Sarjana Muda Senibina dan Sarjana Muda Sains dalam Reka Bentuk Alam Sekitar dengan minor dalam Pengurusan Pembinaan dari University of Houston, Texas, Amerika Syarikat pada tahun 1993. Setelah menamatkan pengajian, beliau memulakan karier dalam bidang senibina bersama Archimage Inc, Houston dan kemudian menyertai Kamal Ismail Associates pada tahun 1994 dan beberapa syarikat tempatan yang lain. Beliau juga berpengalaman sebagai pensyarah di beberapa universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Lim Kok Wing University dan City University Malaysia.

Sebagai pengarah ZKI Architects Sdn. Bhd., Ar. Zamri Ismail bertanggungjawab dalam pengurusan firma dan pengurusan projek dari peringkat awal rekabentuk sehingga selesai. Beliau juga merupakan ‘Certified BIM Specialist’ bagi syarikat tersebut. Berpengalaman selama lebih dari 27 tahun dalam bidang pendidikan dan professional, antara penglibatan beliau dalam industri senibina adalah projek institusi, kediaman, komersial, dan projek kolaborasi antarabangsa. Ar. Zamri Ismail juga ialah ahli majlis Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) bagi penggal 2020-2021 dan telah berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan BIM bagi PAM (2014-2016).

Kesudian Ar. Zamri Ismail sebagai panel penceramah dalam webinar PPSD siri ke-3 ini adalah amat dihargai oleh PPSD dan FSPU. Perkongsian beliau telah menekankan kepentingan BIM sebagai teknologi dan kemahiran mapan yang perlu dipelajari dan diamalkan dalam bidang senibina dan rekabentuk dalaman.