UiTM Cawangan Sarawak Prihatin, Hantar Sumbangan Kepada Pelajar Yang Terlibat Dalam Kebakaran

KOTA SAMARAHAN, 3 OKTOBER 2021 (JUMAAT): Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak baru-baru ini telah berkesempatan menziarahi dan menyampaikan sumbangan bantuan kebajikan dan bantuan kewangan kepada saudari Dewi Manarina binti Abdullah, pelajar dari Fakulti Undang-Undang, UiTM Shah Alam yang tinggal bersama nenek beliau di Tabuan Foochow telah kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa bin Mohamadin, Timbalan Rektor HEP bersama beberapa pegawai HEP dan turut disertai oleh Naib Yang DiPertua (2) Majlis Perwakilan Pelajar (NYDP (2) MPP), saudari Syarafana Mohamad Morshidi bagi menyampaikan sumbangan bantuan kewangan daripada pihak MPP kepada pelajar tersebut.

Kebakaran yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan salah seorang ahli keluarga pelajar tersebut cedera melecur dan masih dirawat di Hospital Umum Kuching. Dalam kebakaran tersebut semua harta benda milik mereka musnah dijilat api. Prihatin dengan musibah yang menimpa pelajar tersebut, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan seluruh warga UiTM Cawangan Sarawak telah turun padang berganding bahu membantu beliau dan ahli keluarga beliau.