Minggu Destini Siswa UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Dalam Norma Baharu

Minggu Destini Siswa (MDS) sesi Oktober 2021 – Februari 2022 UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau telah diadakan pada 27 – 30 September 2021 secara dalam talian menerusi platform Webex dan YouTube. Seramai 172 pelajar Program Pra Diploma (Perdagangan) dan Pra Dilpoma (Sains) telah diberikan penerangan berkaitan peraturan akademik, pendaftaran kursus, Student Portal, kewangan, kolej kediaman, perpustakaan, aktiviti-aktiviti di dalam dan di luar kampus dan sebagainya.

Majlis Amanat Naib Canselor UiTM dan Pelancaran Aplikasi Digital MyStudent yang dipancarkan dalam Youtube UiTM Channel turut diikuti oleh pelajar baharu pada 30 September 2021 kira-kira jam 2 petang. Dalam Amanat Naib Canselor, Ybhg. Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua mahasiswa baharu kerana berjaya terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga UiTM. Para pelajar dinasihatkan agar menghayati sejarah UiTM yang tersendiri bermula pada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA. Pada ketika itu, jumlah pelajar hanya seramai 50 orang.

Sehingga hari ini UiTM telah berjaya melahirkan seramai kira-kira 912,239 alumni yang kini berada di seluruh pelosok dunia dengan kepakaran bidang masing-masing. Sejarah penubuhan UiTM perlu dihayati dengan sebaiknya supaya kita dapat melahirkan generasi graduan yang mempunyai jatidiri yang unggul dengan disulami nilai-nilai murni dan kualiti kemenjadian graduan yang dikagumi semua. Sehubungan itu, beliau menekankan agar para pelajar dapat memainkan peranan bersama-sama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan semua pihak dalam UiTM mahupun luar UiTM untuk memastikan UiTM dikenali di dalam dan luar negara.

Untuk makluman semua warga UiTM, MDS kali ini merupakan kali ketiga diadakan secara dalam talian sejak seluruh dunia mengalami Covid-19. Walaupun para pelajar belum dibenarkan masuk ke kampus, mereka dapat mengikuti MDS ini dengan jayanya dari rumah masing-masing.

Menurut Grazele Cheyenne Buning, pelajar Pra Diploma (Perdagangan), “Pertama sekali, saya berasa gembira kerana dapat mengenali pensyarah serta rakan-rakan baharu walaupun hanya secara dalam talian. Saya juga kagum akan kerjasama semua pihak bagi menjayakan program Minggu Destini Siswa ini meskipun banyak rintangan yang dihadapi terutama masalah internet”.

Sementara itu, Laila Isabella Lizam, pelajar Pra Diploma (Perdagangan), “Saya dapat mengetahui serta memahami peraturan-peraturan dan juga perancangan pelan pengajian di UiTM melalui taklimat yang disampaikan oleh penceramah bagi setiap slot. Hal ini pada pendapat saya sangat membantu saya untuk menyesuaikan diri di dalam institusi Pendidikan yang saya idamkan ini”.

“Masa yang ditetapkan dalam Youtube dan Webex ada sedikit berlainan. Walaubagaimanapun saya berpuas hati dengan kelancaran program MDS ini.” kata Zuhaire Zainol, pelajar Pra Diploma (Sains).

Manakala, Muhammad Razli Kabimbangan, pelajar Pra Diploma (Perdagangan) berpendapat “Sepanjang MDS saya memperoleh banyak maklumat seperti peraturan-peraturan yang perlu kami patuhi, taklimat keselamatan dan banyak lagi. Bagi saya MDS ini sangat penting untuk semua pelajar baharu sertai kerana banyak maklumat penting yang disampaikan. MDS ini sangat menyeronokkan kerana saya dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan kawan-kawan”.

“Program MDS ini telah memberi banyak infomasi yang baharu dan berguna kepada saya dan rakan-rakan.” tambah Azra Hilman, pelajar Pra Diploma (Sains).