UiTM Cawangan Sarawak Dan Kelab Golf UiTM Sarawak Anjur Kejohanan Golf Borneo Varsity & UiTM Alumni Charity Golf 2022

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dan Kelab Golf UiTM Sarawak telah berjaya menganjurkan Kejohanan Golf Borneo Varsity dan UiTM Alumni Charity Golf 2022 yang berlangsung di Kelab Golf Sarawak, Kuching pada hujung minggu lalu, 10 September 2022. Kejohanan yang dianjurkan ini disertai oleh 120 orang pemain golf amatur dan mendapat penyertaan bukan sahaja daripada Sarawak tetapi juga menarik penyertaan daripada Brunei Darussalam, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Abdullah bin Haji Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) yang turut menyertai kejohanan berkenaan dalam Kategori Tetamu Kenamaan.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Kategori Individu Jemputan, Kategori Tetamu Kenamaan, Ketegori Varsity (antara universiti-universiti di Borneo) dan Kategori Individu Cawangan (antara UiTM cawangan-cawangan).

Bagi Kategori Individu Jemputan, Adzwa bin Kamri yang mewakili UiTM Cawangan Sabah mengungguli kategori berkenaan diikuti oleh Tuan Haji Osman@Seman a/l Saadiah di tempat kedua manakala Yakop bin Jalel di tempat ketiga. Kehebatan Adzwa tidak dapat disangkal apabila turut mengungguli Kategori Individu Cawangan manakala Dr. Azlan bin Ahmad Kamal (UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam) di tempat kedua sementara YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Kadir bin Hj.Rosline (UiTM Cawangan Sabah) menduduki tempat ketiga.

Adzwa turut membantu pasukannya UiTM Cawangan Sabah muncul juara bagi Kategori Varsiti apabila meninggalkan UiTM Cawangan Sarawak di tempat kedua dan pasukan UNIMAS di tempat ketiga. Kategori Tetamu Kenamaan pula menyaksikan Yang Berhormat Haji Mohamad Duri, ADUN Kalaka mengungguli kategori berkenaan diikuti YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Kadir bin Hj.Rosline, Rektor UiTM Cawangan Sabah di tempat kedua. Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Ik Pahon Joyik pula menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, dalam ucapannya Prof. Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pemain golf yang menyokong dan menyertai kejohanan ini. Malah beliau turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan derma dan tajaan sehingga objektif kejohanan ini berjaya berlangsung dengan jayanya.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penderma dan penaja yang telah memberi sokongan yang padu sehingga kita berjaya menganjurkan kejohanan pada kali ini selepas hampir dua tahun tidak dianjurkan akibat pendemik COVID-19,” katanya.

Manakala Presiden Kelab Golf UiTM Sarawak, Profesor Dr. Firdaus bin Abdullah memaklumkan hasil sumbangan derma daripada pihak industri, badan-badan korporat, agensi-agensi kerajaan dan alumni UiTM telah mencecah jumlah RM120,000 dan ianya akan disalurkan kepada beberapa pertubuhan kebajikan khususnya Tabung Sri Kenyalang yang diwujudkan di UiTM Cawangan Sarawak bagi tujuan membantu golongan pelajar B40 untuk meneruskan pengajian mereka.

Pada majlis tersebut, turut menyaksikan penyerahan cek sumbangan kepada Tabung Sri Kenyalang berjumlah RM20,000 diikuti sumbangan kepada Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT) dan Kuching Autistic Association (KAA) yang masing-masing mendapat sumbangan berjumlah RM2,000. Kejohanan kali ini turut mendapat bantuan sukarelawan daripada pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Sarawak yang secara tidak langsung memberi pendedahan di luar bilik kuliah kepada mereka dalam penganjuran sesebuah kejohanan.