Mahasiswi UiTM Kemalangan Berada Dalam Keadaan Stabil

SHAH ALAM, 22 SEPTEMBER 2022– Seorang mahasiswi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya akibat hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan pagi tadi di kilometer 396 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Ulu Bernam kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil oleh keluarga mangsa dan pihak hospital.

Laporan awal jam 05:35 pagi melaporkan bahawa lima mahasiswi berusia 21 tahun ini telah dihantar ke Hospital Slim River menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Satu mangsa dilaporkan cedera parah dan tersepit dibahagian hadapan dan empat lagi mengalami cedera ringan.

Hasil siasatan penuh mendapati pelajar yang cedera parah iaitu saudari Nur Nabila Binti Mohd Noorazam merupakan pelajar tahun kedua Sarjana Muda Muamalat (Kepujian) (IC210) dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam. Saudari Nabila telah mendapat rawatan simen di kaki kirinya dan masih dalam pemantauan pihak Hospital Slim River. Manakala, empat lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan merupakan mahasiswi IPT lain yang terdiri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan University of Yarmouk, Jordan. Kelima-lima mangsa yang terlibat dalam kemalangan sebenarnya dalam perjalanan dari Sri Iskandar ke Kuala Lumpur untuk urusan peribadi.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk. Ts. Dr Hjh. Roziah Mohd Janor dan seluruh warga UiTM menzahirkan perasaan simpati dan mendoakan agar pelajar dan mangsa yang terlibat dalam kemalangan segera pulih agar dapat kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Sumber foto: Astro Awani