Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah berjaya menyempurnakan program komuniti Kamek Ngabas Kitak pada 24 September 2022 (Sabtu) bermula seawal 8.00 pagi sehingga 5.00 petang bertempat di Kampung Kuap, Kota Samarahan, Sarawak sekaligus dirasmikan oleh YB Datuk Hamzah Bin Brahim N17 Stakan. Program ini anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kelab Penolong Pendaftar UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Sarawak serta Jawatankuasa Kejiranan Kerja Kampung (JKKK) Kuap.
Tujuan program komuniti ini dianjurkan bagi memberi bantuan dan menggembeling tenaga bersama masyarakat, menyemaikan rasa tanggungjawab sosial untuk sentiasa bekerjasama serta bersatu hati. Selain itu, membentuk disiplin diri,semangat dan tanggungjawab yang tinggi dalam kalangan anak muda berusia 15 tahun dan ke atas bagi memahami hala tuju kerjaya di masa hadapan. Melalui program ini juga mahasiswa UiTM diberi pendedahan terhadap cabaran kepimpinan mahasiswa dalam menyerlahkan bakat dan potensi diri.
Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah gotong royong memasak oleh AJK Wanita Kampung Kuap, masjid serta dewan kampung. Sesi bimbingan kerjaya,pertandingan kuiz, pemeriksaan kesihatan komuniti dan Penyediaan Kamar Ilmu program kerjasama dengan taska. Majlis Perasmian dan Penutupan Program Komuniti Kampung Kuap oleh Bahagian HEP dengan kerjasama Kelab Penolong Pendaftar UiTM Cawangan Sarawak dilakukan di dewan besar.
Turut serta ialah YB Datuk Hamzah Bin Brahim N17 Stakan, YBhg. Profesor Dato Dr. Jamil Haji Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak selaku penganjur, Encik Abang Jai,Ketua Kaum Kampung Kuap, Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohamad Isa Mohamadin Timbalan Rektor HEP serta Puan Umaira Othman Koya, wakil Kelab Penolong Pendaftar. Program ini akan dianjurkan secara bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kelab Penolong Pendaftar Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak dan Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama dan rakan kolaborasi dari Unit Kesihatan, Unit Kerjaya & Kaunseling dan Unit Kesukarelawan.