Pencapaian MOOC PHY011 Dalam e-ConDev 2022

KUALA PILAH, 22 SEPTEMBER 2022 (KHAMIS): Pelajar program Pra-Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) atau ringkasnya Pra STEM C perlu mengikuti sesi pembelajaran selama 2 semester dan pada semester 1, salah satu subjek sains tulen yang perlu diambil ialah PHY011 (Physics for Pre Diploma 1) yang mengandungi 5 topik asas Fizik iaitu ukuran, kinematik, dinamik, tenaga dan jirim.

Selaras dengan pembelajaran secara ODL (Online Distance Learning), seramai 10 orang warga pendidik PHY011 dalam kalangan UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka), UiTM Cawangan Negeri Sembilan (Kampus Kuala Pilah), UiTM Cawangan Pulau Pinang (Kampus Permatang Pauh) dan UiTM Shah Alam telah membangunkan MOOC (Massive Open Online Course) kod PHY011 pada semester Mac 2022 menggunakan platform U-Future. Setelah pelajar mendaftar MOOC kod PHY011, pelajar boleh meneroka keseronokan setiap topik PHY011 yang penuh dengan pembelajaran yang interaktif berbentuk video, permainan beserta penjelasan yang mudah dan jelas. Para pelajar juga berpeluang untuk memberi maklumbalas bagi aktiviti yang telah disertai.

Seterusnya, MOOC kod PHY011 telah menyertai International e-Content Development Competition 2022 (e-ConDev 2022) yang dianjurkan oleh Institute of Continuing Education & Professional Studies (iCEPS), UiTM Shah Alam pada 22 hingga 27 Ogos 2022 secara atas talian menggunakan medium webex. Pembentangan yang diadakan adalah secara rakaman video awal dan sesi soal jawab adalah secara langsung pada 24 Ogos 2022. Keputusan telah diumumkan melalui YouTube Channel pada 30 Ogos 2022 melalui talian https://econdev2022.uitm.edu.my. Tahniah kepada pasukan MOOC kod PHY011 kerana telah memperolehi anugerah Emas. Semoga pembangunan MOOC kod PHY011 dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar.