Jabatan Sains Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Daerah Samarahan, Persatuan Guru Besar Malaysia, Cawangan Samarahan dan Persatuan Sains dan Matematic UiTM Sarawak (PRISMATICS), telah menganjurkan Program Hero Matematik Piala UiTM 2023 pada 17 Oktober 2023 di Dewan Jubli, Kampus Samarahan, UiTM Cawangan Sarawak. Program ini dianjurkan dengan tajaan bersama Yang Berhormat Datuk Rubiah Wang, Ahli Parlimen Kota Samarahan (P197) yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Yayasan Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).
Program ini bertujuan menanam minat murid-murid sekolah rendah untuk mempelajari matematik dengan berfikiran kritis dan kreatif di samping memberi pendedahan untuk menghadapi penilaian matematik yang lebih mencabar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Pertandingan Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK), Trends in International Matematics and Sciences Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA).
Seramai 120 orang murid dan 52 guru dari 40 buah sekolah rendah di daerah Samarahan telah menyertai program ini. Progam ini dimulakan dengan pertandingan matematik dalam bentuk ujian bertulis. Sementara menunggu keputusan pertandingan diumumkan, 6 aktiviti STEM turut disediakan untuk para peserta, iaitu Mind Card, 4 in a Row, Alien Addition, Jungle Math, Math Bingo dan Studio Code. Aktiviti-aktiviti ini dikendalikan oleh PRISMATICS dengan kerjasama Persatuan Sains Komputer (COMPASS) UiTM Cawangan Sarawak serta dibantu oleh pelajar dari Fakulti Perakaunan.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh YBrs. En. Ahmad bin Abdul Razak, Pegawai Daerah Samarahan mewakili YB Datuk Hjh. Rubiah binti Wang. Turut hadir bersama dalam majlis ini, YBhg. Profesor Dato Dr Hj. Jamil bin Hj. Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak serta pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Sarawak, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jabatan Pendidikan Daerah Samarahan, Yayasan Sarawak dan PUSAKA.
Tempat Pertama: SK (A) Ibnu Khaldun
Tempat Kedua: SJK (Cina) Chung Hua Sg. Jernang
Tempat Ketiga: SK Merdang
Saguhati 1: SK Endap
Saguhati 2: SK Pangkalan Kuap
Tahniah dan syabas kepada para pemenang. Semoga dengan penyertaan ini mampu mempupuk generasi baru untuk minat dalam bidang matematik.