UiTM Cawangan Sarawak Anjur Program Community Based Tourism Di Sri Aman

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah mengadakan Program Latihan Komuniti: Penggerak Eko Pelancongan Berasaskan Komuniti bertempat di BME Hotel pada 20 hingga 22 November 2022. Program tersebut merupakan sebuah program usahasama antara Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N28 Lingga, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Sarawak, Persatuan Wanita UiTM (PEWANI) dan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA).

Antara objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mempelajari kemahiran kendiri seperti kemahiran berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris, kemahiran seni kitar semula untuk menghasilkan produk pelancongan serta kemahiran fotografi dan videografi, di samping memberi pendedahan dalam menceburi bidang perniagaan kepada peserta. Seramai 25 orang peserta telah mengikuti program yang telah berlangsung selama tiga hari ini.

Turut hadir bagi mewakili YB Puan Dayang Noorazah bte Haji Awang Sohor adalah Koordinator Jaringan Komuniti UiTM Sarawak, Dr Azlina Bujang yang telah merasmikan upacara Majlis penutupan. Menurut beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, kolaborasi tersebut membentuk kerjasama dalam bidang keusahawanan dalam usaha melahirkan ekosistem sokongan pasca pandemik yang bakal memberi banyak manfaat kepada peserta program.

Usaha ini adalah penting bagi memperkasakan lagi aktiviti pelancongan berasaskan komuniti dalam mengalakkan keusahawanan di kalangan penduduk setempat dan secara tidak langsung akan memantapkan lagi ekonomi di kawasan Sri Aman. “Kerjasama ini bakal menyediakan lebih peluang kepada peserta bagi memperolehi pengalaman dan pendedahan kepada pelbagai aspek, khususnya cara berkomunikasi yang baik, penghasilan produk seni yang kreatif dengan pengunaan barang kitar semula serta penggunaan telefon bimbit dalam penghasilan gambar dan video yang sememangnya banyak memberi manfaat kepada pesertaā€¯.

Menurut Ketua Projek, Puan Aiza Johari, penglibatan peserta yang amat menggalakkan mampu meningkatkan lagi peluang kerjasama di samping menggalakkan semangat daya saing dan sifat kompetitif di kalangan peserta.

Melalui program tersebut, peserta turut berkongsi keterujaan dan kepuasan hati melalui impak yang diperoleh. Antaranya adalah pelbagai manfaat dan ilmu berguna yang boleh digunapakai dalam usaha memasarkan perniagaan melalui platform digital. Sememangnya, digitalisasi perniagaan adalah salah satu kaedah yang banyak memberi manfaat kepada pegusaha untuk meraih keuntungan dan memasarkan jenama serta produk pelancongan secara kreatif pada era pasca pandemik ini.