UiTM Cawangan Sabah Sertai Dua Pameran Pendidikan

TAWAU: Dalam menjayakan misi pengambilan pelajar baharu bagi kemasukan Sesi 1 2022/ 2023, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau turut serta bersama-sama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain memenuhi dua (2) jemputan untuk mengadakan pameran pendidikan iaitu Majlis Penyerahan Slip Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2021, Kolej Tingkatan Enam Tawau (KT6T) dan Majlis Pelancaran Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM), Peringkat Parlimen Tawau.

Pertamanya, program Majlis Penyerahan Slip Keputusan STPM Tahun 2021, KT6T telah diadakan di Dewan Syed Sirajuddin Adeeb Putra pada 18 Ogos 2022. Program ini melibatkan seramai 342 pelajar lepasan STPM yang telah menerima slip keputusan masing-masing. Menurut Pengetua Cemerlang, Tuan Matnoor Sima, keputusan STPM tahun 2021 ini mencatat Purata Nilai Gred Purata (PNGK) 2.72 iaitu peningkatan sebanyak 0.04 mata berbanding 2.68 pada tahun sebelumnya dan seramai 119 calon memperolehi PNGK 3.0 ke atas.

Dalam pada itu, Dr. Choo Siow Chin, Pensyarah Kanan, UiTMCSH Kampus Tawau telah berkongsi tentang informasi peluang kemasukan ke UiTM dan program pengajian yang ditawarkan secara umumnya kepada pelajar lepasan STPM 2021 yang hadir. Para pelajar dinasihatkan untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan melalui laman web rasmi UiTM selain pergi ke booth pameran yang disediakan di Dataran Datuk Jimmy Wong. Pameran pendidikan telah disertai oleh Dr. Choo Siow Chin selaku ketua dan Encik Jemat Julaihi Basri. Selain memberi risalah dan kit berkaitan, petugas turut memberi khidmat bimbingan kepada pengunjung pameran tentang syarat kemasukan, senarai program, semakan syarat kelayakan serta tatacara permohonan sekiranya ingin melanjutkan pengajian di UiTM.

Seterusnya, program Majlis Pelancaran Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) Peringkat Parlimen Tawau telah diadakan di Dewan Masyakarat Tawau, pada 19 Ogos 2022. Program anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Kumpulan Yayasan Sabah telah disempurnakan oleh YB Tuan Andi Muhammad Suryady Haji Bandy, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap ADUN N71 Tanjung Batu.

Program JPKM merupakan inisiatif dan projek khas YAB Perdana Menteri dalam membuka akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat terutama penduduk di kawasan pedalaman ataupun luar bandar. Turut diadakan penyerahan surat tawaran kemasukan belajar ke IPT dan Bantuan Awal Pendidikan kepada penerima yang terdiri daripada anak-anak Tawau yang layak.

Sementara itu, pameran pendidikan UiTM Cawangan Sabah telah melibatkan tiga (3) orang staf Kampus Kota Kinabalu dan seorang staf Kampus Tawau iaitu Encik Sulaiman Halim selaku petugas. Selain mempromosikan pengambilan pelajar kemasukan Sesi 1 2022/ 2023, petugas turut memberikan khidmat bimbingan kepada pengunjung tentang program pengajian yang ditawarkan di UiTM. Antaranya melibatkan program pengajian Pra Pendidikan Tinggi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan lain-lain yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sabah, khususnya dan di seluruh sistem UiTM, umumnya. Dalam masa yang sama, pengunjung turut berkesempatan untuk mendapatkan risalah dan kit program pengajian, serta maklumat permohonan bagi kemasukan pelajar UiTM.

Secara tuntas, kedua-dua program pameran pendidikan yang diadakan telah menerima sambutan yang amat menggalakkan. Semoga melalui penglibatan staf UiTM seperti ini akan berjaya memberikan informasi yang jelas terhadap peluang yang ditawarkan kepada orang ramai sekali gus menarik minat mereka untuk melanjutkan pengajian di UiTM.