UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Turut Rai Anak Cemerlang Spm 2022 Kampung Wakuba

 

TAWAU, 27 Julai 2023:  Sempena Majlis Meraikan Kecemerlangan Anak Wakuba dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengambil bahagian dalam taklimat dan pameran pendidikan yang berlangsung di Dewan Datuk Tawfiq, Sekolah Kebangsaan (SK) Wakuba pada 15 Julai yang lalu.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Kolonel Kehormat (PA) Datuk Haji Nizam DSP Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, merangkap ADUN N68 Apas.

Dalam pada itu, Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, telah menyampaikan taklimat program pengajian dan syarat kemasukan pelajar baharu khususnya di UiTM Cawangan Sabah serta UiTM seluruh negara. Pengunjung yang hadir juga telah diberi taklimat secara terperinci tentang program-program kursus-kursus pengajian yang sesuai dengan kelayakan akademik pemohon.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang ke booth pameran Pendidikan UiTM bagi mendapatkan maklumat berkaitan tentang syarat kemasukan, cara permohonan melalui sesi perundingan akademik oleh staf yang bertugas dan dengan mengimbas Quick Response Code (QR code) yang disediakan.

Di akhir majlis, sesi penyampaian Sijil Penghargaan telah disampaikan oleh Datuk Haji Nizam DSP Abu Bakar Titingan kepada UiTMCSH Kampus Tawau sebagai penghargaan dan tanda terima kasih dalam menjayakan majlis.

UiTMCSH Kampus Tawau telah diketuai oleh Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, Encik Sulaiman Halim dan Cik Alfera Zurhain Sairin selaku petugas.