UiTM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU SERTAI PAMERAN PENDIDIKAN SEMPENA PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM 2022 DI SEKOLAH SEKITAR DAERAH BALUNG

TAWAU, 9 Jun 2023 – Sempena Majlis Penyerahan Slip Keputusan SPM 2022, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan pameran pendidikan jemputan dua buah sekolah di sekitar daerah Balung, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakuba dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung pada 8 Jun yang lalu.

UiTMCSH Kampus Tawau telah diwakili 4 staf iaitu Encik Asmad Mohd Noor, Encik Muhammad Anas Abdul Muis, Encik Rahmat Kaparang, Encik Syahrizan Dahlan dan turut disertai Cik Norizzaty Nadzira Mohd Redzuan, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) yang kini menjalani latihan industri.

Melalui pameran pendidikan ini, pelajar lepasan SPM 2022 di kedua-dua sekolah berkenaan berpeluang untuk mendapatkan maklumat berkaitan program-program dan kursus-kursus di peringkat Pra Diploma, Diploma serta program lain yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sabah secara khusus dan seluruh sistem UiTM secara umumnya. Selain sesi perundingan akademik, pelajar juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan tentang syarat kemasukan, cara permohonan dengan mengimbas Quick Response Code (QR code) yang telah disediakan.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Wakuba, Tuan Haji Dzulkifli Haji Ali Basha, menyatakan pameran Pendidikan oleh pihak UiTM adalah sangat baik dan berimpak serta mencapai objektif pihak sekolah.

 “Pameran Pendidikan seperti ini sememangnya perlu diadakan di setiap sekolah kerana mampu memberikan maklumat dan pendedahan awal kepada pelajar lepasan SPM serta calon SPM tahun semasa mengenai maklumat pengajian dan peluang untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi di dalam negara khususnya UiTM”, ujar Tuan Pengetua.

Natijahnya, secara tidak langsung, pameran pendidikan ini telah berjaya membantu para pelajar lepasan SPM khususnya di SMK Wakuba dan SMK Balung untuk mengenali program – program Pra Diploma dan Diploma serta program- program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan oleh UiTM dengan lebih mendalam.