UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Kongsi Halatuju Gapai Impian Pelajar MRSM Tun Mustapha Tawau

TAWAU, 15 Jun 2023:  UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah menyertai Pameran Pendidikan dan Taklimat Halatuju lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sempena Karnival Kerjaya yang dianjurkan oleh Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Mustapha, Tawau pada 14 Jun, bertempat di Dewan Sri Ixora.

Penglibatan UiTMCSH Kampus Tawau dalam Karnival Kerjaya kali ini adalah untuk berkongsi maklumat tentang penawaran program-program dan kursus-kursus peringkat Pra Diploma hingga Ijazah Sarjana Muda, halatuju akademik di UiTM kepada para pelajar lepasan SPM, MRSM Tun Mustapha, MRSM Semporna dan sekolah jemputan sekitar daerah Tawau.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar yang ditemui, Nur Nazatil Naziha Ahmad yang bercita-cita menjadi seorang peguam berkata, beliau amat berpuas hati dengan perkongsian maklumat program pengajian dan halatuju akademik yang disampaikan oleh pihak UiTM.

“Selain dapat mengetahui maklumat tentang program pengajian undang-undang, karnival hari ini dapat memberi input kepada saya dan rakan-rakan tentang bidang-bidang program pengajian lain yang ditawarkan di UiTM”, ujar Nur Nazatil.

Manakala, Farhanah Sakinah Kassim, pelajar Tingkatan 4, bercita-cita menjadi seorang doktor sejak di bangku sekolah rendah lagi berhasrat untuk menyambung pengajian program Asasi Sains UiTM.

Sementara itu, Guru Kaunseling MRSM Tun Mustapha, Puan Suriyani Yahya, berkata pemilihan bidang pengajian yang tepat sangat penting dan memerlukan pertimbangan serius dalam menentukan arah kerjaya para lepasan SPM. Penglibatan UiTMCSH Kampus Tawau sangat bermanfaat dan berjaya memberi impak positif khususnya para lepasan SPM serta pelajar Tingkatan 1 hingga 5 agar mereka lebih cakna dalam memilih bidang pengajian yang sesuai dengan pencapaian akademik, minat dan kerjaya yang diimpikan.

“Antara dilema sering dihadapi para lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi adalah memilih jurusan mana yang sesuai untuk diambil berdasarkan kelulusan diperoleh serta prospek kerjaya apabila tamat belajar”, kata Suriyani.

Di akhir karnival, sesi penyampaian Sijil Penghargaan oleh pihak MRSM Tun Mustapha kepada semua jemputan telah diadakan sebagai tanda terima kasih kerana sudi hadir untuk menjayakan penganjuran Karnival Kerjaya kali ini.

UiTMCSH Kampus Tawau telah diwakili Pensyarah Kanan, Puan Hamidah Achmad, Puan Nur Asmah Abd Ang, staf Unit Pentadbiran dan pelajar Latihan Industri, Cik Norizzaty Nadzira Mohd Redzuan.