15 – 17 Disember 2023, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang melalui Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah berjaya menganjurkan program ‘Transformasi Kepimpinan Mahasiswa Bumiputera Pulau Pinang Zon Utara 2023’ yang dilaksanakan selama 3 hari, iaitu pada hari Jumaat hingga Ahad. Program ini melibatkan peserta yang terdiri daripada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma dan Ijazah. Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Jaya, SMK Penanti, SMK Telok Air Tawar, SMK Datuk Haji Ahmad Badawi di Pulau Pinang serta Universiti Awam yang terdiri daripada Institut Pendidikan Guru kampus Ipoh, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah. Seramai 200 orang peserta hadir ke program anjuran Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang.
Program ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Azman bin Ibrahim, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, ICU JPM. Sepanjang program, sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) diberikan oleh fasilitator yang bertujuan untuk membentuk jiwa kepimpinan dan kedisiplinan. Selain itu, tujuan program diadakan adalah untuk memberikan penjelasan dan pengukuhan kefahaman terhadap pendekatan kepedulian (caring approach). Sikap cakna dan ambil peduli terhadap keperluan komuniti setempat mampu merubah sosio-ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan hidup. Dalam setiap sesi aktiviti LDK, para peserta telah diberikan taklimat dan peraturan yang wajib mereka patuhi sepanjang aktiviti dijalankan. Melalui LDK, peserta diberikan ruang dan peluang untuk mengemukakan idea masing-masing. Sesi refleksi yang diberikan oleh fasilitator dan peserta dapat membina kesediaan dan komitmen untuk memperbaiki kualiti diri. Menerusi program ini, diharapkan peserta melengkapkan diri dengan kemahiran dan mempelbagaikan ilmu bagi mentransformasikan sosio-ekonomi bumiputera Pulau Pinang. Selain itu, aktiviti LDK seperti Kajian Lapangan Permatang Pauh juga pastinya turut menyumbang kepada penambahan ilmu yang berkaitan dengan pembangunan sosio-ekonomi kepada peserta program.
Secara keseluruhan, pengisian aktiviti yang direncanakan ini menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Satu, Empat dan Sebelas iaitu Tiada Kemiskinan, Pendidikan Berkualiti serta Bandar dan Masyarakat Mampan. Aktiviti yang terkandung dalam program ini turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Malaysia Madani. Dengan adanya perlaksanaan program ini, diharapkan peserta bukan hanya golongan yang memegang segenggam sijil Diploma atau Ijazah namun golongan yang berpotensi untuk mengubah negara ke arah kemajuan tamadun yang lebih utuh.