UiTM Cawangan Perak dan School Of Quantity Surveying (Sqs) Indonesia Meterai MoU Kerjasama Industri Antarabangsa

UiTM Cawangan Perak – Majlis menandatangani MoU di antara Program Ukur Bahan UiTM Cawangan Perak bersama School of Quantity Surveying (SQS) Jakarta, Indonesia telah diadakan pada 6 Oktober 2023 yang lalu. Memorandum Persefahaman (MoU) ini ditandatangani oleh Prof. Madya Dr Nur Hisham Ibrahim (Rektor, UiTM Cawangan Perak) mewakili Naib Canselor YBhg. Prof. Ts Dr Hajah Roziah Mohd Janor bersama pihak SQS Indonesia diwakili oleh Puan Elliyanti Tahir (Pengarah Eksekutif). Turut hadir adalah Ketua Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Prof. Madya Ts. Dr Norhafizah Abdul Rahman, Koordinator Program dan pensyarah-pensyarah Program Ukur Bahan, UiTM Cawangan Perak.

Jalinan kerjasama yang diadakan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala bagi menggalakkan dan mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak di peringkat antarabangsa melalui perlaksanaan pelbagai aktiviti. Di antara aktiviti yang telah dirancang adalah penganjuran sesi webinar ‘International Collaborative Talk 2023: Malaysia-Indonesia Construction Contract and Legal Issues’ yang diadakan pada 7 Oktober 2023. Panel-panel jemputan yang terlibat adalah Puan Ellyyanti Tahir (SQS Indonesia), Sr Wan Ainon Zuraihana Khalid (AI Konsult) dan Datuk Sr Amran Hj Mohd Majid (JKR Kuala Lumpur). Fokus utama webinar ini adalah membincangkan mengenai isu-isu berkaitan kontrak dan perundangan dalam pembinaan di Malaysia dan Indonesia. Program webinar tersebut telah berjaya dan mendapat sambutan baik daripada pengamal industri di Malaysia mahupun Indonesia.

Tempoh pelaksanaan memorandum persefahaman ini adalah dimuktamadkan selama tiga tahun berkuatkuasa daripada tarikh 6 Oktober 2023. Hasil daripada termeterainya memorandum tersebut, diharapkan para pensyarah dan pelajar khususnya dalam bidang Ukur Bahan UiTM Cawangan Perak dapat meneroka potensi, menimba pengalaman dan memanfaatkan program-program daripada aktiviti-aktiviti yang bakal dirancang. Antara program yang telah dirancang dan bakal dilaksanakan pada Tahun 2024 adalah pelaksanaan program kursus pendek dan penyediaan modul pengajaran yang memfokuskan kepada pengukuran kuantiti, anggaran kos dan pengurusan kontrak. Pensyarah-pensyarah yang menyediakan modul ini kemudiannya akan dijemput sebagai pensyarah jemputan mengikut kursus yang ditawarkan di bawah program kursus pendek oleh pihak SQS Indonesia. Melalui perlaksanaan aktiviti-aktiviti kerjasama seperti ini, sudah pasti dapat menghasilkan lebih banyak lagi peluang untuk diterokai pada masa akan datang demi merealisasikan visibiliti UiTM ke peringkat global.