Murid Sihat, Sekolah Hebat

KUALA SELANGOR, 12 Oktober 2023 – Nursing Student Association (NUSA), Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam telah menganjurkan School Health Programme 2023 yang bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 12.30 tengahari yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Jeram. Untuk julung kalinya, program tahunan ini dijayakan dengan gabungan daripada para pelajar kejururawatan dua universiti Indonesia dan menjadikan program ini berstatus antarabangsa. Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberikan pendidikan kesihatan kepada murid-murid sekolah sekali gus membantu pelajar kejururawatan dalam meningkatkan keyakinan diri dalam mengendalikan program di kalangan komuniti. Program ini juga telah melibatkan 25 orang ahli jawatankuasa daripada NUSA, empat orang pensyarah dan lima orang pelajar daripada Universitas Airlangga Surabaya Indonesia, tiga orang pensyarah serta 20 orang pelajar daripada Universitas ‘Aisyiyah Yogyakarta Indonesia, 330 orang murid dan 31 orang guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Jeram. Program kali ini pula telah dipimpin oleh Puan Norazlina binti Md Jazli selaku penasihat program. Di samping itu, Ketua Pusat Pengajian Kejururawatan UiTM Puncak Alam iaitu Dr. Siti Khuzaimah binti Ahmad Sharoni dan juga Pegawai Perhubungan Antarabangsa Fakulti Sains Kesihatan iaitu Dr. Muhammad Afiq bin Zaki turut hadir ke program kali ini sebagai VIP untuk memberi sokongan serta memeriahkan lagi program ini.

Program ini dimulakan dengan pendaftaran murid yang hadir dengan bantuan guru-guru sekolah. Kemudian, aktiviti zumba yang diketuai oleh lima orang ahli jawatankuasa dimulakan selama 20 minit di dataran terbuka sekolah sebagai senaman ringan. Program diteruskan lagi dengan slot yang pertama iaitu ceramah pemakanan seimbang di surau sekolah dan pada masa yang sama slot kedua juga dimulai iaitu ceramah kesihatan mental di makmal komputer. Semasa ceramah kesihatan mental, ujian saringan kesihatan mental iaitu DASS telah dilakukan kepada murid-murid sekolah tahap 2 untuk memantau kesihatan mental mereka. Usai kedua-dua sesi ceramah kesihatan, program berehat seketika dan diteruskan dengan slot ketiga iaitu ceramah demam denggi yang disampaikan oleh 4 orang fasilitator pada pukul 11.30 pagi. Bagi memastikan setiap murid memberikan tumpuan sepenuhnya semasa sesi ceramah dijalankan, beberapa soalan kuiz diutarakan di penghujung setiap sesi ceramah dan murid yang dapat menjawab dengan betul, akan diberikan hadiah. Sebanyak 30 hadiah cabutan bertuah telah disediakan oleh pihak penganjur kepada murid-murid yang hadir usai sesi ceramah ketiga.

Selain daripada ceramah kesihatan, program kali ini juga menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada guru-guru, kaki tangan sekolah serta ahli-ahli daripada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG). Antara pemeriksaan yang disediakan adalah pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah, tinggi, berat dan pengiraan BMI. Pemeriksaan ini dilakukan oleh beberapa orang ahli jawatankuasa daripada NUSA, pelajar kejururawatan dari Universitas Airlangga Surabaya Indonesia dan Universitas ‘Aisyiyah Yogyakarta Indonesia dengan pemantauan oleh Instruktor Klinikal daripada Pusat Pengajian Kejururawatan. Saringan kesihatan ini berjaya menarik perhatian ramai kerana mereka berpeluang untuk memeriksa tahap kesihatan mereka yang terkini secara percuma dan tidak perlu ke fasiliti kesihatan yang berdekatan.

Majlis perasmian penutup School Health Programme 2023 merupakan acara kemuncak bagi program ini. Kesemua hadirin berkumpul di dewan sekolah dan acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Siti Khuzaimah binti Ahmad Sharoni selaku Ketua Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam diikuti dengan ucapan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jeram iaitu Puan Nur Farehan binti Ahmad Fuad sekali gus merasmikan School Health Programme 2023 ini. Majlis diteruskan lagi dengan sesi menandatangani kerjasama pintar di antara Sekolah Kebangsaan Jeram, Pusat Pengajian Kejururawatan UiTM Puncak Alam, Fakultas Keperawatan, Universitas Airlangga Surabaya Indonesia dan Fakultas Ilmu Kesihatan, Universitas ‘Aisyiyah Yogyakarta Indonesia. Akhir sekali, majlis penyampaian cenderamata berlangsung sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan.

Galeri Gambar: