MARAN 2 April – Bagi mengatasi kekurangan pencuci tangan (sanitizer) khususnya dalam berhadapan krisis wabak COVID-19, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang bertindak proaktif menghasilkan sanitizer sendiri.
Pencuci tangan (sanitizer) berkenaan berjaya dihasilkan oleh Pusat Pengajian Sains, UiTM Cawangan Pahang yang terdiri daripada pensyarah kimia, staf makmal dan pelajar.
Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Pahang, Mohd Risham Jaafar berkata, inovatif itu dilakukan ekoran kekurangan sanitizer yang sangat diperlukan oleh warga kampus termasuklah pensyarah, kakitangan dan mahasiswa pada masa ini.
“Keperluan kepada ‘hand sanitizer’ ini adalah sebagai penjagaan kebersihan tangan dan juga nyahkuman yang perlu diamalkan semua warga kampus.
“Ia telah diedarkan kepada semua unit dan jabatan memerlukan seperti Unit Kesihatan UiTM yang diwakili oleh Dr. Nazila Marjan serta Unit Keselamatan dan Unit Pentadbiran diwakili oleh saya sendiri,”katanya kepada PahangStory di sini, hari ini.
Menurutnya penghasilan produk berkenaan diketuai Prof. Dr. Megat Ahmad Kamal Megat Hanafiah bersama satu pasukan yang terdiri daripada empat ahli fakulti dan kakitangan makmal.
“Ia terdiri daripada Dr. Shaari Daud, Dr. Zul Adlan Mohd Hir, Dr Agustono Wibowo, Dr Norshahidatul Akmar Mohd Shohaimi, Nik Mohd Zamani Nik Ismail, dan dua pelajar pascasiswazah, Muhammad Amirrul Hakim dan Noraini Safar,”katanya.
Tambahnya, UiTM Pahang bercadang untuk mampatenkan produk itu kerana ia boleh digunakan berterusan walaupun selepas wabak COVID-19 berakhir.
Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan UiTM Pahang Dr. Muzamil Mustaffa berkata, usaha yang dilakukan itu adalah untuk membantu seluruh warga UiTM Cawangan Pahang.
Katanya ia dapat memastikan semua warga UiTM mendapat hand sanitizer yang amat penting dalam mencegah penularan wabak COVID-19.
OLEH : Salehudin Mat Rasad