Keperluan untuk mendapatkan akses kepada air bersih merupakan salah satu daripada Matlamat Pembangunan Lestari ke-6 (SDG-6). Setiap lapisan masyarakat berhak untuk menikmati air yang bersih. Namun begitu masih terdapat berjuta manusia yang masih berhadapan dengan krisis air bersih khususnya masyarakat yang tinggal di beberapa negara di benua Afrika dan juga masyarakat di kawasan pendalaman di Malaysia. Berdasarkan kepada perkembangan di peringkat global, bekalan kepada akses air bersih tidak lagi dapat ditampung berikutan peningkatan populasi dunia secara mendadak. Separuh daripada populasi dunia bakal berhadapan dengan krisis mendapatkan bekalan air bersih. Hal tersebut pasti disulitkan lagi apabila bekalan air terpaksa dicatu menjelang musim kemarau ekoran masalah pencemaran terhadap punca sumber air bersih seperti laut dan sungai.
Menyedari kepentingan akses kepada air bersih, UiTM Cawangan Pahang telah mengambil inisiatif pada 24 Disember 2018 dengan menyediakan air minuman percuma kepada staf, pelajar dan pelawat dengan menempatkan satu penapis air di Pusat Islam, UiTM Kampus Raub selaras dengan matlamat Pembangunan Lestari yang ke-6, iaitu kebersihan air dan sanitasi. Projek ini adalah salah satu usaha yang digerakkan oleh Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Kampus Raub melalui kaedah kutipan sumbangan daripada warga Kampus Raub sepenuhnya. Projek seumpamanya turut digerakkan oleh Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Kampus Jengka dengan menempatkan penapis air minuman di Masjid Uwais Al-Qarni, UiTM Kampus Jengka pada 26 April 2019. Pihak Unit Pengurusan Ladang, UiTM Kampus Jengka juga tidak ketinggalan dengan melaksanakan projek yang sama dengan menempatkan penapis air di pejabat mereka pada bulan Ogos tahun 2020. Program pemberian air minuman secara percuma ini memberi kelebihan kepada kesihatan warga UiTM sekaligus mampu meningkatkan produktiviti kerja warga UiTM keseluruhannya.
Selain itu, UiTM Cawangan Pahang turut bergiat aktif di peringkat global dengan turut membantu masyarakat Islam di Kemboja menerusi Program Perigi Kemboja. Program pembinaan perigi ini dilaksanakan atas permintaan sebuah rumah anak yatim di Kampung Rokampram, Kemboja yang mengalami kesukaran mendapat bekalan air bersih kerana ketiadaan bekalan air paip. Justeru atas usaha beberapa pensyarah daripada Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) yang diketuai oleh Ir. Dr. Nur Asmaliza Mohd Noor, program pembinaan perigi ini dapat membantu golongan anak yatim di Kemboja mendapatkan akses bekalan air bersih.
Program murni ini juga bertepatan dengan SDG-6 iaitu Sumber Air Bersih dan Sanitasi. Hasil sumbangan dana daripada warga UiTM dan juga masyarakat di Malaysia, tiga wakaf perigi jenis pam telah siap dibina pada 22 Ogos 2019 sebagai sumber air untuk kegunaan 200 orang penduduk rumah anak yatim di Kampung Rokampram, Kemboja. FKA terus komited menjalinkan hubungan khidmat kemasyarakatan dan melebarkan kepakaran ke peringkat antarabangsa melalui program ini. Selain itu, program ini memperlihatkan keprihatinan peserta terhadap penduduk Muslim di negara itu yang mengalami kesukaran mendapat bekalan air bersih terutama di kawasan pedalaman.