E-Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Di antara UiTM dan UnHAS: Pengukuhan Jalinan Strategik

Satu majlis ringkas telah dianjurkan secara maya buat pertama kalinya oleh Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa (OIA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang yang diketuai oleh Dr. Badli Esham Ahmad, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri pada 27 Oktober 2020. Majlis ini dianjurkan bagi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universitas Hasanuddin (UnHAS), Makassar, Indonesia melalui platform Cisco Webex Meetings dan disiarkan secara langsung melalui Facebook Rasmi UiTM Cawangan Pahang.

MoU ini adalah hasil kesinambungan daripada lawatan akademik yang telah dilakukan oleh delegasi UnHAS di UiTM Cawangan Pahang pada 5 Ogos 2019. Memandangkan keadaan semasa pandemik masih lagi melanda, maka majlis secara maya ini dilangsungkan sebagai usaha penuh oleh kedua-dua institusi bagi membendung dan memutuskan penularan wabak COVID-19 selain menghormati perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan kedua-dua negara.

Memorandum ini bertujuan bagi melestari, mempromosi dan memperhebatkan lagi jalinan kerjasama di dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan budaya antara kedua-dua pihak atas dasar faedah dan kecemerlangan bersama. Bagi mencapai objektif ini, pelbagai aktiviti turut dirangka seperti penekanan kepakaran melalui latihan dan pertukaran staf, pertukaran pelajar untuk suatu tempoh pengajian atau penyelidikan, penganjuran persidangan akademik dan pertukaran maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran yang menjurus kepada pengembangan prestasi pelajar dan institusi secara keseluruhannya. Selain itu, pihak UiTM dan UnHAS akan terus melihat pada peluang-peluang penyelidikan yang boleh diterokai dan direalisasikan dengan lebih optima.

Semasa ucapan alu-aluan oleh Profesor Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang, beliau menyatakan bahawa UiTM selaku institusi pendidikan tinggi harus meluaskan lagi skop kerjasama secara strategik dan menyeluruh yang membawa impak yang positif dalam menghasilkan graduan yang sudah bersedia dengan pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran bagi memenuhi kehendak pasaran kerja atau employability bagi kedua-dua institusi.

Tambah Prof. Rektor lagi, beliau tidak mahu MoU di antara UiTM dan UnHAS hanya menjadi kerjasama yang sekadar formality semata-mata, sebaliknya ia harus menjadi satu kerjasama yang berterusan dan mempunyai hala tuju yang jelas dari segi perkongsian ilmu melalui program-program yang disasarkan bagi melonjakkan kecemerlangan dan kebaikan bersama bagi kedua-dua institusi dan juga negara walaupun dunia dilanda pandemik COVID-19.

Profesor Dr. Dwia Aries Tina Pulubuhu, Rektor UnHAS dalam ucapan alu-aluan beliau juga turut menyambut baik saranan MoU ini bagi memperkukuhkan lagi kerjasama melalui kegiatan akademik, konferensi, program mobiliti pelajar bagi proses pengembangan kualiti ilmu seterusnya pembangunan komuniti dapat dirasai oleh semua peringkat lapisan masyarakat.

Harapan kepada kerjasama MoU ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak, malah ianya akan menjadi pendorong kepada pelbagai inisiatif yang lebih bermakna dan komprehensif dalam membuka ruang penerokaan pelbagai disiplin ilmu, selain memastikan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama dalam mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua di peringkat Universiti. Penggalakkan kolaborasi penyelidikan dan inovasi melibatkan pensyarah, staf pentadbiran serta para pelajar dari kedua-dua institusi juga turut diberi penekanan.

Turut hadir dari UiTM Cawangan Pahang, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Ts. Dr. Azhan Hashim@Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr. Hj. Mohd Kamal Azman Jusoh, Pengarah Pengurusan Fasiliti & ICT, Ir. Zulkifli Azamuddin, dan Timbalan Bendahari, Puan Nor Yusnita Mohamed Yusoff. Turut hadir dari UnHAS, Wakil Rektor, Profesor Dr. Muhammad Nasrum Massi serta Dekan Fakultas Matematika dan Pengetahuan Ilmu Alam, Dr. Eng. Amiruddin.