UiTM Bersama Komuniti: Perawatan Asas Kecederan Kepada Masyarakat

PUNCAK ALAM, 5 November 2023 – Persatuan Pelajar Kejururawatan UiTM (Nursing Student Association -NUSA), telah menganjurkan program yang melibatkan penduduk di sekitar UiTM Puncak Alam iaitu Program Ilmu Perawatan Asas Kecederaan dan Kepatahan. Program ini telah dimulakan seawal pukul 9.00 pagi sehingga 4.00 petang yang bertempat di Galeri Ecoworld, Eco Grandeur, Puncak Alam. Objektif utama program yang dijalankan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang asas-asas rawatan kecederaan dan kepatahan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat Puncak Alam. Program ini juga dapat melatih daya kepimpinan dan keyakinan pelajar kejururawatan apabila berkomunikasi dengan masyarakat serta dapat berfikir secara kritis dalam membuat keputusan untuk penyelesaian masalah.

Seramai 32 orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pelajar kejururawatan di bawah bimbingan Pensyarah Kanan Kejururawatan, Puan Norhaini Majid selaku penasihat program telah bekerjasama bagi menjayakan program ini. Turut serta bersama adalah 2 orang pensyarah dari Pusat Pengajian Kejururawatan, UiTM Puncak Alam, Dr. Wan Marina Wan Ismail dan Puan Nordianna Seman, dan 2 orang Instruktor Klinikal iaitu Puan Natasha Nawi dan Cik Nor Farahin Gapar selaku fasilitator program ini. Di samping itu, program ini juga melibatkan penyertaan seramai 6 orang sukarelawan yang merupakan jururawat yang terlatih dalam bidang Ortopedik daripada Persatuan Jururawat Ortopedik Malaysia (Malaysian Orthopaedic Nurses Association -MONA) yang turut membantu sebagai fasilitator bagi aktiviti yang dijalankan.

Program ini telah menyediakan beberapa aktiviti berkaitan kesihatan iaitu taklimat dan demonstrasi rawatan asas kecederaan, taklimat dan demonstrasi rawatan asas kepatahan dan juga saringan kesihatan seperti bacaan tekanan darah, pengukuran berat dan tinggi serta pengiraan Body Mass Index (BMI). Sesi kaunseling kesihatan seperti pengambilan pemakanan dan senaman juga diberikan selepas pengiraan BMI untuk setiap pengunjung. Seterusnya, sesi soal jawab dan juga demonstrasi semula kaedah memasang anduh dan kaedah balutan kecederaan dilakukan oleh peserta yang hadir atas pemantauan dan tunjuk ajar oleh fasilitator. Sesi soal jawab dan kuiz juga dilakukan untuk memastikan para peserta dapat memahami dengan lebih lanjut akan demonstrasi yang ditunjukkan pada sesi ceramah. Program anjuran Nursing Student Association (NUSA) ini berjaya meraih hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada penduduk di sekitar UiTM Puncak Alam. Peserta menunjukkan minat dan memberikan maklumbalas yang baik sepanjang program ini berlangsung.