UCC UiTM Menangi Empat Anugerah Antarabangsa

Universiti Teknologi MARA Chamber Choir (UCC) memenangi empat 4 anugerah daripada semua kategori yang dipertandingkan melalui penyertaan dalam ‘1st Tele-Chorus International Virtual Choir Competition’ di Jepun dengan 110 penyertaan dari pelbagai negara yang diumumkan pada Isnin.

Empat anugerah yang dimenangi tersebut adalah Juara bagi “Most Favourite Audience Award”, Naib Juara bagi “Entertainment Award”, Naib Juara “Musical Award” dan Naib Juara bagi “Judge’s Special Award”Menurut Dekan Fakulti Muzik, Prof Madya Dr Tazul Izan Tajuddin kemenangan dan pencapaian itu adalah manifestasi terbaik kerjasama dan persefahaman antara pelajar dan pengajar fakulti dalam menampilkan kebolehan dan kemahiran masing-masing di arena global.

Pertandingan yang bermula sejak 31 Julai lalu adalah kali pertama disertai UCC dan kali pertama juga diadakan dalam norma baharu ketika pandemik COVID-19 iaitu secara maya.Dalam pertandingan yang menjadi semakin popular di Jepun itu, penilaian adalah berdasarkan kualiti suara, kandungan dan teknik suntingan yang bermutu tinggi serta kreatif.

UiTM Chamber Choir yang hanya dianggotai oleh para pelajar Fakulti Muzik UiTM telah mempertaruhkan sebuah lagu tradisional dari Kelantan, bertajuk Ewa Bule dengan memperagakan pakaian dan tarian tradisi dari pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Melalui Ewa Bule, UiTM Chamber Choir telah mengambil satu inisiatif kreatif dengan menggubah semula lagu itu yang pada asalnya merupakan sebuah lagu dikir barat kepada versi koir.

Ia adalah idea kreatif dan suntingan yang semuanya dilakukan oleh ahli-ahli UCC dengan bimbingan Prof Madya Dr Masashi Kishimoto dari Fakulti Muzik UiTM Shah Alam.

Kelebihan UCC adalah pada kualiti suara yang dihasilkan dengan kepelbagaian suku kaum dan etnik di Malaysia yang ditonjolkan ketika persembahan secara maya.

Panel juri adalah terdiri daripada Prof Hideki Motoyama yang merupakan Presiden Kolej Muzik Osaka yang juga adalah Conductor Choral, komposer Kentaro Sato dan Masaya Ishiwaka. Ketiga-tiga mereka ini adalah pakar, berpengalaman dan terkenal dalam bidang koir dan komposer di Jepun.

Sumber:
http://www.astroawani.com/gaya-hidup/ucc-uitm-menangi-empat-anugerah-antarabangsa-254788

0
0