‘Design Lecture’ oleh Pemenang Anugerah Reka Bentuk Antarabangsa: Pamela Tan

 

Pamela Tan adalah pereka senibina Malaysia yang telah menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi karya dalam bidang seni, senibina dan reka bentuk. Konsep seni reka beliau berjaya mengaburkan definisi antara reka bentuk naratif dan nilai estetika dalam sesebuah bentuk rekaan. Pamela Tan memperoleh Sarjana dalam Senibina RIBA Pt. 2 dari University of Greenwich, London. Projek reka bentuk senibina tahun pertama beliau yang bertajuk ‘Mappa Mundi: A Map Maker’s Dream’ telah terpilih untuk dipamerkan di The Royal Academy of Arts. Beliau adalah penerima Anugerah PAM-Tan Sri Ar. Chan Sau Lai 2016, dan juga pernah menyampaikan projek reka bentuk tahun akhir bertajuk ‘Soil City’ untuk TED X- Universiti Teknologi PETRONAS.

Selain daripada itu, dua karya Pamela Tan telah memenangi anugerah reka bentuk antarabangsa iaitu ‘Eden’ (Bronze Award) dan ‘Projection: Kite’ (Merit Award) di Design for Asia Awards 2020. Antara pencapaian terkini beliau yang lain adalah tersenarai dalam ‘Prestige 40 under 40’ di terbitan Prestige Malaysia Feature 2020. Karya ‘Eden’ juga telah diterbitkan dalam platform senibina atas talian yang terkenal di peringkat antarabangsa iaitu ArchDaily. Semua projek dan karya Pamela Tan boleh dilihat dengan lebih lanjut dalam laman sesawang beliau www.pamelatan.com.

Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD), Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM amat berbesar hati dengan kesudian Pamela Tan sebagai panel dalam syarahan atas talian anjuran pusat pengajian tersebut pada 11 Julai 2020. Pensyarah PPSD, Sarah Rahman, yang juga telah mengaturkan program ini memainkan peranan sebagai moderator sepanjang program berlangsung. Syarahan reka bentuk yang disampaikan oleh Pamela Tan menerusi webinar ini telah memperkayakan pemahaman para pelajar mengenai reka bentuk yang lebih inovatif melalui penggunaan ‘digital fabrication’ dan idea yang bersifat spekulatif.