TINGKAT KUALITI PELAJAR MELALUI KOLABORASI ANTARA PROGRAM PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH DAN KESEDAR

Penglibatan pihak universiti dalam projek pembangunan melalui kolaborasi dengan pihak industri menjadi perangsang positif kepada peningkatan kualiti pelajar. Inisiatif kolaborasi telah dijalankan oleh Program Perancangan Bandar dan Wilayah (PPBW), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar bersama pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Inisiatif ini diterajui oleh Encik Mohd Roswodi Mat Zin, Pensyarah Kanan Program Perancangan Bandar dan Wilayah bersama TPr Hajah Maimon Hj Ali selaku Koordinator Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Gs Mohamad Sofiyuddin Sanusi selaku Koordinator Program Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah. Turut bersama-sama ahli jabatan yang lain iaitu, Encik Muhamad Azrul Azwan Azman, Gs. Dr Norhazlan Haron, Dr Syazwani Ahmad, Dr Puteri Yuliana Samsudin dan Gs. Noor Syarafina Sallehudin. Seramai 58 orang pelajar tahun akhir Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah terlibat dalam program kolaborasi ini.

Dua projek telah dijalankan iaitu Pelan Tindakan Kawasan Khas Taman Etnobotani, Gua Musang dan Pelan Tindakan Kawasan Khas “Food Valley” Manek Urai, Kuala Krai Kelantan. Tujuan kolaborasi ini adalah untuk mewujudkan hubungan strategik antara arena akademia dan lapangan praktis sebenar. Gabungan kedua-dua agensi dilihat mampu menghasilkan landskap kerja yang sistematik dalam penyediaan Pelan Tindakan Khas Projek Etnobotani, Gua Musang dan “Food Valley” di Manik Urai, Kelantan.

Beberapa siri lawatan tapak telah dijalankan oleh pelajar dan pensyarah iaitu pada 12-14 April 2023 dan 23 – 27 Mei 2023. Pelajar turut menjalankan sesi pembentangan hasil penemuan kajian kepada pihak KESEDAR pada 24 Mei 2023. Pelbagai input diperolehi daripada pihak KESEDAR bagi membantu dalam pembentukan konsep dan cadangan pembangunan bagi kawasan Taman Etnobotani dan “Food Valley”.

Pada 31 Julai 2023, kedua-dua kumpulan pelajar telah membentangkan Cadangan Akhir Pelan Tindakan bagi kedua-dua kawasan kajian kepada pegawai-pegawai KESEDAR. Seramai tujuh (7) orang pegawai KESEDAR menghadiri pembentangan ini yang bertempat di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.
Hasil daripada pembentangan tersebut, pihak KESEDAR amat berpuas hati dengan kerja-kerja yang ditonjolkan oleh pelajar tahun akhir Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah. Idea-idea dan cadangan yang dikemukakan mencapai tahap yang dikehendaki pihak KESEDAR. Dokumen serta pelan-pelan pembangunan yang dibuat telah diserahkan kepada pihak KESEDAR untuk tindakan mereka.

Kolaborasi seperti ini diharap dapat memberi manfaat secara dua hala di mana pihak program Perancangan Bandar dan Wilayah dapat memberikan idea pembangunan manakala pihak industri dapat memberi pendekatan serta komen yang membangun kepada para pelajar. Secara tidak langsung kualiti program dapat diperkasakan dalam melahirkan pelajar yang serba boleh dan memenuhi keperluan semasa industri.